Buat julung-julung kalinya, panggung terbuka di Wisma Geylang Serai (WGS) bakal menjadi pentas bagi naskhah asli, Bangsawan Kencana Sakti, sempena Bulan Bahasa 2026.

Pementasan selama satu jam setengah itu menggabungkan unsur teatrikal moden dengan pengajaran tentang adab, bahasa dan lenggok bangsawan.

Ia akan berlangsung pada 15 Ogos ini di Persada Budaya WGS pada 8 malam secara percuma.

Tahun ini, WGS meraikan Bulan Bahasa 2026 dengan tema ‘Budaya Milik Kita’ dan cogan kata, ‘Hidupkan Bahasa, Semarakkan Budaya’.

Naskhah, tulisan dan arahan tokoh teater Melayu, Nadiputra atau Encik Almahdi Al-Haj Ibrahim itu, mengisahkan golongan diraja dengan mengetengahkan nilai kekeluargaan, persaudaraan, silaturahim dan keutuhan hubungan dalam menghadapi pergolakan kehidupan.

Nadiputra telah menjulang pelbagai anugerah, termasuk Pingat Budaya (1986), Anugerah Tun Seri Lanang (2013), Anugerah Penulis Asia Tenggara (2020) dan Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura (2021).

Ia melibatkan barisan pelakon mapan seperti Zainal Mohd, Mahyonis Mahfudz dan Hassan Osman dengan penampilan khas, Azman Shariff, berserta pelakon baru seperti Layla Wahid, Haziq Halim, Awal’liyah Jaafar, Andry Hrithik dan Siraj.

Usaha WGS mementaskan bangsawan dianggap langkah berani, menurut Nadiputra, kerana hab bersepadu warisan kebudayaan itu, mencabar tanggapan bahawa bangsawan telah pupus, selain melestarikan bahasa dan budaya Melayu.

“Bangsawan mempunyai ciri-ciri yang menyeluruh dalam bentuk persembahan dari segi bahasa, muzik, busana, gerak-geri dan perwatakan yang mencorakkan budaya Melayu yang harus dilihat golongan remaja,” kata Nadiputra yang sudah berkecimpung selama lima dekad dalam persada seni Nusantara.

Katanya, Bangsawan Kencana Sakti menggunakan watak berlatar zaman dahulu, tetapi pergolakan yang diketengahkan mencerminkan kehidupan masa kini.

Bahasa berima, muzik dan nyanyian pula diolah bagi menjadikan kisah tersebut lebih menarik dan dekat dengan penonton.

Namun, menurut Nadiputra, mementaskan bangsawan di panggung terbuka WGS membawa cabaran tersendiri kerana perhatian penonton mudah terganggu oleh kegiatan sekeliling.

“Justeru, pasukan penerbitan menggunakan set ringkas, pencahayaan dan teknologi visual untuk menghidupkan latar seperti hutan dan istana. Pendekatan pencerita turut digunakan bagi melancarkan peralihan adegan.

“Pengarah muzik, Dzul Rabull Jalel, memainkan peranan penting menghidupkan suasana dengan menerapkan unsur-unsur lagu bercorak bangsawan,” kata Nadiputra.

Nadiputra turut menekankan kerjasama antara pelakon berpengalaman dan bakat muda dalam memastikan kelancaran pementasan.

”Dalam pembahagian watak, saya cuba menyeimbangkan keperluan pementasan dengan kehendak para pelakon, termasuk mereka yang ingin mencuba watak antagonis,“ kata Nadiputra.

Antara bakat baru ialah Haziq Halim yang pertama kali beraksi dalam bangsawan menerusi watak Putera Jaksa.

“Saya agak gementar kerana setiap gerak-geri harus ada niat atau tujuannya sendiri. Agak mencabar tetapi pada saya cabaran harus disahut,” katanya.

Sinopsis

Bangsawan Kencana Sakti mengisahkan perseteruan dua kerajaan – Alam Maya Candrapura dan Alam Buana Ninggra, yang berakar daripada dendam berabad lamanya. Permaisuri Ratnamaya melarikan diri bersama puteranya yang baru dilahirkan, Putera Jaksa, selepas Raja Kobat Buana menitahkan agar semua bayi lelaki dibunuh. Mereka kemudian diselamatkan Raja Raksamaya, yang membesarkan Putera Jaksa bersama puteranya sendiri, Putera Indra.

Ikuti kisah ini yang membawa penonton menyelusuri pengkhianatan, pengorbanan dan takdir yang akhirnya menentukan siapakah pewaris sebenar takhta.