Pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan di bawah Pos Kesihatan Masyarakat (CHP) akan diperluaskan kepada kakitangan, sukarelawan dan lembaga pentadbir masjid pada 2027, bermula dengan Masjid Darul Makmur di Yishun dan Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio.

Dalam satu kenyataan oleh NHG Health pada 30 November, langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen lebih luas oleh kelompok penjagaan kesihatan awam itu untuk menjangkau lebih ramai penduduk, tidak kira di mana mereka berada.

NHG Health berkata: “Strategi kesihatan penduduk yang berkesan memerlukan penyelesaian yang responsif terhadap keperluan, budaya dan realiti kehidupan setempat.”

Buat masa ini, CHP di masjid-masjid dibuka kepada golongan dewasa, warga senja dan penjaga mereka yang menetap di kejiranan berdekatan tanpa mengira bangsa atau agama.

Selain Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Darul Makmur, NHG Health turut mengendalikan CHP di Masjid An-Nur di Admiralty dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands.

Perluasan perkhidmatan dan pemeriksaan kesihatan di bawah CHP bagi merangkumi lebih ramai individu ini sejajar dengan usaha lebih luas Kementerian Kesihatan (MOH) untuk meningkatkan tahap kesihatan penduduk yang menetap di kawasan utara Singapura – merangkumi Woodlands, Sembawang dan Yishun.

Ini sedang penduduk di kawasan itu berdepan dengan kelaziman menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi yang lebih tinggi berbanding purata nasional.

Perkara ini kali pertama didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MOH pada Mac.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

MOH berkata kelaziman penduduk di utara Singapura untuk menghidap kencing manis adalah 10.5 peratus jika dibandingkan dengan purata nasional sebanyak 8.8 peratus, manakala kelaziman menghidap tekanan darah tinggi pula adalah 35.9 peratus berbanding purata nasional sebanyak 33 peratus.

Diperkenalkan pada 2018, CHP bertujuan melengkapi penjagaan doktor.

Ia menyokong penduduk untuk mencapai matlamat kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan seperti pengurusan ubat, bengkel kemahiran dan kaunseling gaya hidup.

Bengkel kemahiran itu antara lain meliputi aspek kesihatan dan kesejahteraan seperti nasihat pemakanan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti