Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh hubungan generasi muda S'pura-M'sia: Presiden Halimah

Mar 23, 2023 | 5:30 AM
Ustaz Fathurrahman M Dawoed
Ustaz Fathurrahman M Dawoed - AMP

GENERASI muda Singapura dan Malaysia juga mesti merasakan bahawa hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara adalah penting, kata Presiden Halimah Yacob, pada Rabu.

Bertemu media pada hari terakhir lawatan negaranya ke Malaysia, Puan Halimah berkata, dalam hal hubungan Singapura dan Malaysia, isu generasi muda "sentiasa menjadi kebimbangan"-nya.

"Orang dalam generasi saya, kami telah melalui tempoh di mana perubahan berlaku dalam sejarah dan ia telah menjejas kita.

"Berikutan itu, kami telah membina ekonomi masing-masing, kedua-dua negara mengukuhkan ekonomi kami dan kami belajar kepentingan kesalingbergantungan ekonomi dan sosial.

"Namun, itu merupakan pengalaman hidup kami. Pengalaman hidup ini tidak serupa dengan pengalaman hidup anak muda kami, baik yang di Singapura mahupun di Malaysia," ujar Puan Halimah.

Oleh itu, terdapat keperluan untuk menyediakan peluang dan platform di mana anak muda dari kedua-dua negara dapat menghargai pengalaman- pengalaman sedemikian.

Peluang interaksi anak muda S'pura, M'sia 'pelaburan bagi masa depan'

Mewujudkan peluang bagi anak muda Singapura dan Malaysia berinteraksi secara bermakna antara satu sama lain merupakan "pelaburan bagi masa hadapan, bukan sahaja bagi masa depan kedua-dua negara, tetapi juga perkembangan masa depan, kesejahteraan dan pembangunan sosial kedua-dua negara," kata Puan Halimah.

Ini lebih-lebih lagi kerana generasi muda sekarang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan untuk menjadi pemimpin pada masa depan.

"Kita banyak berbincang tentang kesalingbergantungan ekonomi dan sosial dan sebagainya, tetapi kita lupa bahawa generasi muda mungkin mempunyai pandangan yang berbeza.

"Anak-anak muda mesti juga merasakan bahawa (hubungan dua hala) adalah penting bagi mereka, dan melihat cara mereka boleh menyumbang terhadap perkara tersebut.

"Itu sebabnya menyediakan peluang sedemikian adalah sangat penting," tambah beliau.

Meskipun akur sudah terdapat peluang pertukaran pelajar antara sekolah-sekolah di Singapura dengan Malaysia, Puan Halimah berkata adalah baik jika pertukaran tersebut dapat diluaskan kepada lebih banyak negeri.

Katanya: "Kita tidak seharusnya mengehadkannya kepada Kuala Lumpur sahaja, kita juga boleh mengadakan program pertukaran pelajar di negeri-negeri lain kerana kita tidak boleh berfikir bahawa semuanya sama (di seluruh Malaysia).

"Ia memberi manfaat bagi anak muda di negeri lain mengetahui tentang anak muda Singapura dan bagi anak muda kita bertemu orang muda dari pelbagai negeri yang mempunyai kekuatan, keperluan dan pembangunan yang berlainan."

Selain itu, Puan Halimah menyentuh tentang isu wanita.

Beliau telah bertemu beberapa pemimpin wanita dalam bidang politik di Malaysia semasa lawatannya.

Melalui perbincangan mereka, Puan Halimah berkata cabaran-cabaran yang dihadapi golongan wanita dalam politik adalah serupa.

Beliau merumuskannya kepada dua perkara - stereotaip dan peluang.

"Wanita harus diberi pilihan tentang perkara yang mereka mahu lakukan, dan kemudian masyarakat mesti mempercayai bahawa wanita mempunyai keupayaan untuk memahami betapa pentingnya sumbangan mereka, dan cara ia boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan keluarga mereka juga.

"Jadi keyakinan itu mesti ada. Oleh itu, bukan hanya struktur politik yang perlu kita fikirkan, tetapi pada asasnya, seluruh masyarakat perlu mempunyai kesedaran individu dan kolektif bahawa wanita mempunyai peranan untuk dimainkan.

"Mereka boleh menyumbang dan menyediakan peluang tersebut," ujar Puan Halimah.

Beliau menekankan kepentingan menyediakan sistem sokongan yang padu agar kaum hawa dapat menjalankan pelbagai tanggungjawab mereka dengan baik.

Beban penjagaan - sama ada menjaga kanak-kanak kecil atau warga emas - masih sering terletak di atas bahu wanita, baik di Malaysia, Singapura mahupun banyak negara lain, kata beliau.

Hal tersebut memakan masa dalam kehidupan sehari-harian wanita.

"Jadi, kita perlu menyediakan satu sistem eko yang benar-benar menyokong para wanita dalam isu penjagaan, jika kita mahu melihat lebih ramai pemimpin wanita," katanya.

Puan Halimah juga berkongsi pandangannya mengenai Asean sambil menegaskan kepentingan Asean bersatu.

"Meskipun dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di seluruh dunia, kita tahu bahawa terdapat nilai untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan satu sama lain.

"Sekarang ini, kita lihat dunia semakin menuju ke arah yang berbeza-beza, tetapi apa yang kita mahukan ialah strategi yang saling menguntungkan...yang membawa manfaat kepada warga-warga Malaysia, Singapura dan Asean juga," ujar Puan Halimah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg