Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkukuh peranan belia sebagai pemimpin melalui program tahunan

Feb 21, 2025 | 5:30 AM
Pelajar dan sukarelawan belia membungkus barangan asas dan runcit di Masjid Al-Khair untuk diagihkan kepada penerima bantuan makanan, ‘Food Aid’.
Pelajar dan sukarelawan belia membungkus barangan asas dan runcit di Masjid Al-Khair untuk diagihkan kepada penerima bantuan makanan, ‘Food Aid’. - Foto PERDAUS

Membentuk pelajar sebagai pemimpin sambil memberi sumbangan kepada masyarakat adalah harapan utama Perdaus melalui kempen tahunan ‘Food Aid’ dan perkhemahan, ‘Ramadhan Changes Me’ (RCM).

Setiap Ramadan, belia Perdaus amat menantikan program RCM.

Program ini tidak hanya melibatkan perkhemahan sepanjang Ramadan, malah menyertakan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan dan pembangunan kerohanian.

Salah seorang belia di Perdaus, Encik Muhammad Khairy Sapari, 20 tahun, yang sudah beberapa tahun menjadi peserta berkata beliau bakal mengetuai perkhemahan itu pada 2025.

“Sepanjang menyertai RCM, program ini sentiasa menjadi kemuncak tahunan bagi saya.

“Menjalankan ibadah bersama rakan-rakan semasa berpuasa mengajar saya erti kesabaran dan memupuk sifat rendah hati dalam pergaulan harian.

“Saya juga rasakan penghayatan keislaman saya sentiasa meningkat setiap kali mengikuti program ini,” jelasnya.

Pegawai Kanan di Imad Perdaus, Ustazah Azhani Abu Basri, berkata:

“Kami mengambil peluang pada Ramadan untuk membangunkan belia secara kerohanian melalui projek amali, serta memberi mereka ruang mendekati masyarakat dan memupuk kemahiran kepimpinan dalam diri mereka.

“Ini supaya mereka dapat memahami peranan mereka sebagai Muslim sejati dalam masyarakat kosmopolitan ini.”

Selain menyantuni jemaah masjid dengan bantu membuat persediaan berbuka puasa, bersolat tarawih dan qiamullail, program ini juga memberi peluang kepada belia menyebarkan kesedaran mengenai Ramadan kepada orang ramai dan pelajar.

Mereka turut terlibat membungkus dan mengedar pek baucar dan bungkusan makanan Raya.

Antara kerja kemasyarakatan di RCM ialah projek, ‘Food Aid’ – pengagihan barangan keperluan asas kepada penerima bantuan makanan.

Projek ini adalah satu kempen kemasyarakatan di bawah kurikulum pendidikan agama mingguan Perdaus yang menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Buat tahun ke-13 berturut-turut, Perdaus telah menyantuni lebih 10,000 keluarga dan individu yang memerlukan, bagi membawa keceriaan Ramadan dan Syawal mereka melalui kempen Food Aid.

Perdaus mengalu-alukan derma untuk kempen Food Aid bagi menceriakan mereka yang layak menerima bantuan barangan dapur dan lainnya.

Projek ini memerlukan sekitar $30,000 untuk dijayakan.

Ini termasuk:

– 120 set baucar runcit dan makanan bernilai $100 dan kuih-muih Raya untuk keluarga benefisiari daripada kelab masyarakat, masjid serta Perdaus.

– 240 pek perkenalan Ramadan untuk penduduk di Bukit Batok dan Bedok. Pek ini mengandungi barangan seperti kurma, madu dan poskad tentang Ramadan.

– 60 pek makanan dalam bungkusan beg untuk pemilik rumah warga tua.

– 400 bungkusan bubur Ramadan diagihkan kepada penduduk di kawasan Bukit Batok dan Bedok.

– 30 hamper barangan asas dan runcit kepada benefisiari daripada badan amal melalui rakan kongsi Perdaus.

Lebihan dana daripada projek ini akan disalurkan pula kepada projek Food Aid pada 2026.

Derma Apa?

* Derma $100 bagi menyediakan baucar runcit bernilai $100 untuk keluarga berpendapatan rendah.

* Derma $50 untuk menyediakan dua pek bubur untuk diagihkan kepada masyarakat serta satu pek runcit untuk keluarga berpendapatan rendah.

* Derma $10 untuk menyediakan satu pek Raya untuk penghuni rumah warga tua.

Cara Menderma

1. Anda boleh menderma melalui PayNow di S64SS0031JQRB. Sila WhatsApp ke talian 8127-3729 untuk mendapatkan resit.

2. Menderma melalui dalam talian, lungsuri laman https://swiy.co/blessedbonds

3. Bagi menunaikan zakat harta, sila ke laman http://swiy.io/pdszakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg