Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlindungan bagi lebih banyak kategori pekerja khidmat awam

MHA: Pekerja kereta sewa privet, tadika MOE, jagaan kesihatan privet dalam operasi Covid-19 dan rumah kebajikan kini antara dilindungi daripada gangguan
Jul 3, 2021 | 5:30 AM
HUKUMAN LEBIH BERAT: Pesalah yang menggangu penjawat awam atau pekerja perkhidmatan awam yang sedang menjalankan tugasnya, seperti pemandu kereta sewa privet, boleh dikenakan hukuman dipertingkat. - Foto fail BH,
HUKUMAN LEBIH BERAT: Pesalah yang menggangu penjawat awam atau pekerja perkhidmatan awam yang sedang menjalankan tugasnya, seperti pemandu kereta sewa privet, boleh dikenakan hukuman dipertingkat. - Foto fail BH, -

LEBIH banyak kategori pekerja akan dirangkumkan sebagai pekerja perkhidmatan awam di bawah Perintah Perlindungan Daripada Gangguan (Pekerja Perkhidmatan Awam) mulai Rabu depan.

Ini demi memberi perlindungan dipertingkat bagi pekerja tersebut daripada perbuatan penganiayaan atau gangguan semasa mereka menjalankan tugas, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataan semalam.

Antara kategori pekerja baru yang akan mendapatkan perlindungan itu ialah pemandu kereta sewa privet, pekerja di tadika Kementerian Pendidikan (MOE) dan pusat pembangunan awal kanak-kanak di bawah Skim Pengendali Utama atau Skim Pengendali Rakan Kongsi, pekerja jagaan kesihatan privet yang terlibat secara langsung dalam operasi Covid-19, dan pekerja di tempat perlindungan krisis dan rumah kebajikan.

Mulai Rabu depan, di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (Poha), mereka yang menganiaya, mengganggu, atau melakukan doxxing terhadap pekerja tersebut semasa mereka sedang menjalankan tugas boleh dikenakan hukuman penjara lebih lama berbanding jika mangsa bukan pekerja perkhidmatan awam.

Doxxing merujuk kepada perbuatan menerbitkan butiran peribadi seseorang dalam talian dengan tujuan mengganggu, menyebabkan keganasan atau ketakutan keganasan kepada individu.

Ini kali pertama Perintah Perlindungan Daripada Gangguan (Pekerja Perkhidmatan Awam) disemak MHA dengan konsultasi bersama kementerian dan agensi lain sejak ia diperkenalkan pada 2014.

MHA berkata ia telah mengenal pasti lebih ramai pekerja yang memenuhi kriteria bagi pekerja perkhidmatan awam dan harus menerima perlindungan dipertingkat daripada gangguan.

"Undang-undang mengiktiraf kepentingan melindungi penjawat awam dan pekerja perkhidmatan awam daripada gangguan disebabkan peranan penting mereka," kata MHA.

Kementerian itu berkata buat masa ini, pekerja yang menghadapi orang awam dan menyediakan khidmat penting bagi kesejahteraan orang awam atau bagi negara ini berfungsi dengan baik dianggap sebagai pekerja perkhidmatan awam dalam perintah itu.

Ini termasuk karyawan jagaan kesihatan di institusi jagaan kesihatan awam, pendidik di sekolah awam dan pekerja sanitasi awam di Majlis Bandaran.

Di bawah Poha, pesalah yang menganiaya, mengganggu atau melakukan doxxing boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan, hukuman denda hingga $5,000, atau kedua-dua hukuman.

Jika mangsa seorang penjawat awam atau pekerja perkhidmatan awam yang sedang menjalankan tugasnya, pesalah boleh dikenakan hukuman dipertingkat, iaitu hukuman penjara hingga 12 bulan, atau denda hingga $5,000, atau kedua-dua hukuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg