PRESIDEN Halimah Yacob menyeru agar semakan undang-undang dilaksanakan berhubung hukuman rotan terhadap perogol yang berusia lebih 50 tahun.

Beliau menyatakan beberapa kejadian rogol melibatkan kanak-kanak di rumah mereka sendiri yang dilakukan oleh saudara-mara mereka baru-baru ini adalah 'sangat membimbangkan dan meloyakan'.

Di bawah undang-undang, lelaki berusia lebih 50 tahun tidak dikenakan rotan. "Perogol tidak sepatutnya bebas daripada dihukum rotan hanya kerana mereka berumur 50 tahun.

"Sungguh ironi bahawa mereka dapat melarikan diri daripada kesakitan yang disebabkan oleh rotan walaupun mangsa mengalami trauma teruk dan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki yang mereka lakukan dengan kejam terhadap mangsa mereka akan berterusan seumur hidup,'' kata Puan Halimah dalam catatannya di Facebook hari ini.

Beliau berkata terdapat beberapa kes di mana kejadian rogol dilakukan lebih awal tetapi dilaporkan hanya selepas perogol berusia lebih 50 tahun.

"Ia tepat pada masanya kita menyemak undang-undang ini," ujar Puan Halimah.

Beliau berkata terdapat keperluan bagi melindungi kanak-kanak dengan lebih baik daripada pemangsa seksual.

Beliau turut berkata hukuman berat bagi pesalah yang disabitkan adalah penting, namun ia tidak mencukupi dengan hanya hukuman tersebut.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti