Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlindungan lebih luas untuk rawatan

Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH)
Oct 28, 2024 | 5:30 AM
Dengan perubahan baru pada skim insurans nasional, sembilan daripada 10 pesakit tidak perlu lagi membayar kos rawatan mereka menggunakan wang sendiri.
Dengan perubahan baru pada skim insurans nasional, sembilan daripada 10 pesakit tidak perlu lagi membayar kos rawatan mereka menggunakan wang sendiri. - Foto ISTOCKPHOTO

Seorang pesakit menjalani pembedahan di hospital awam yang memerlukan rawatan selama dua hari di Unit Jagaan Rapi (ICU), diikuti lima hari lagi di wad kelas B2 bersubsidi.

Beliau menjangkakan kos rawatan tinggi yang bakal mencapai hingga lima angka. Sebaliknya, beliau mendapati bayaran yang perlu dikeluarkan ialah $0.

Ini boleh dilakukan melalui subsidi pemerintah, pembayaran daripada MediShield Hayat – skim insurans nasional yang menyediakan perlindungan asas terhadap bil perubatan yang besar – dan penggunaan MediSave.

MediSave adalah skim simpanan nasional yang membantu rakyat Singapura mengetepikan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan mereka.

Senario sebegini bakal menjadi satu kebiasaan bagi sembilan dalam 10 bil pesakit yang mendapatkan rawatan bersubsidi di hospital awam apabila peningkatan untuk MediShield Hayat yang diumumkan berkuat kuasa. Angka ini akan meningkat daripada kurang lapan dalam setiap 10 pesakit buat masa ini.

Lebih perlindungan

Pada 15 Oktober 2024, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pemerintah telah menerima saranan Majlis MediShield Hayat (MLC) untuk semakan MediShield Hayat.

Cadangan itu bertujuan melindungi rakyat Singapura dengan lebih baik daripada membayar bil perubatan yang besar.

Perubahan ini juga akan membolehkan rakyat Singapura menerima rawatan baru yang berpotensi menyelamatkan nyawa, seperti rawatan Produk Terapi Sel, Tisu dan Gen (CTGTP) yang menggunakan sel untuk merawat pelbagai isu kesihatan.

Perubahan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai April 2025.

Perlindungan asal MediShield Hayat:

Skim ini membantu membayar bil hospital yang besar dan beberapa rawatan pesakit luar yang tinggi seperti dialisis dan radioterapi untuk penyakit barah. Walaupun perlindungan MediShield Hayat membantu untuk rawatan bersubsidi, namun semua wad dan kelas di hospital turut dilindungi.

Bagaimana skim ini dipertingkat:

– Had tuntutan lebih tinggi

Had tuntutan pesakit yang lebih tinggi bagi pesakit yang dirawat di hospital dan bagi pembedahan hari. Tuntutan sepenuhnya boleh dilakukan bagi setiap sembilan dalam 10 bil bersubsidi. Had tuntutan polisi dinaikkan daripada $150,000 kepada $200,000. Jumlah yang perlu dibayar dahulu oleh pesakit sebelum boleh membuat tuntutan MediShield Hayat akan dinaikkan kepada $1,500. Bayaran ini boleh dipotong daripada MediSave.

– Perlindungan pesakit luar ditingkatkan

Had tuntutan pesakit luar boleh menampung kos perubatan sepenuhnya sehingga sembilan dalam 10 bil bersubsidi. Perlindungan ini diperluaskan kepada rawatan pesakit luar baru dan bagi rawatan di rumah. Bayaran baru berjumlah $500 setahun yang perlu dibayar oleh pesakit dahulu akan diperkenalkan. Bagi komponen insurans bersama, iaitu peratusan jumlah yang perlu dibayar setelah bayaran dahulu dibuat, akan dikurangkan bagi bil pesakit luar yang lebih besar.

– Rangkumi rawatan kos tinggi

Perlindungan MediShield Hayat kini akan meliputi rawatan baru yang berkesan dari segi klinikal dan kos. Ini termasuk rawatan CTGTP yang telah menunjukkan potensi untuk merawat barah dan penyakit serius dengan berkesan, serta ubat kos tinggi untuk penyakit darah dan penyakit yang muncul semasa kanak-kanak.

Bantuan diperluas

Mengapakah semakan MediShield Hayat diperlukan?
Supaya ia dapat menampung sepenuhnya bil perubatan untuk lebih ramai pesakit, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Mac.

MediShield Hayat menggantikan MediShield pada 1 Nov 2015 dan telah disemak lagi pada 2020. Skim ini direka untuk “melindungi secukupnya” sembilan daripada 10 bil bersubsidi, kata Encik Ong semasa Perbahasan Jawatankuasa Pembekalan MOH tahun ini.

“Apa yang perlu dilakukan (orang ramai) ialah hanya membuat pembayaran yang agak kecil dan ini boleh dilunaskan melalui MediSave.”

Tetapi dengan bil hospital meningkat sebanyak 5 peratus setiap tahun di hospital awam, penanda aras itu turut berubah, kata Encik Ong.

Jumlah bil bersubsidi yang dilindungi secukupnya oleh MediShield Hayat telah berkurangan kepada sekitar lapan dalam setiap 10 bil dan ini “dijangka akan terus menurun”.

Majlis MediShield Hayat (MLC) lantas mengemukakan saranan meningkatkan had tuntutan dan meluaskan perlindungan kepada lebih ramai warga Singapura.

Untuk menyokong perubahan ini, premium MediShield Hayat, yang dibayar setiap tahun, perlu dinaikkan “dengan jumlah yang agak ketara”, jelas Encik Ong ketika ditemui pada 15 Oktober apabila semakan tersebut diumumkan.

Kenaikan itu akan diperkenalkan secara berperingkat selama tiga tahun, dari April 2025 hingga Mac 2028.

Pembayaran premium MediShield Hayat adalah berdasarkan umur, mengambil kira risiko kesihatan dan penjagaan kesihatan yang dijangkakan untuk setiap kumpulan umur.

Kenaikan premium MediShield Hayat akan dihadkan pada 35 peratus, dengan purata peningkatan sebanyak 22 peratus. Warga Singapura yang lebih tua akan melihat peningkatan premium lebih besar berbanding kumpulan umur lain, kata MOH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg