ANGGOTA jawatankuasa Masjid Haji Muhammad Salleh sedang giat mengumpul dana untuk menaik taraf rumah ibadah di Palmer Road itu yang sudah pun melebihi usia 100 tahun.
Salah seorang daripada mereka ialah Cik Noorimah Mohd Akber.
Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf ini diperlukan bagi memenuhi keperluan masyarakat di sekitar Shenton Way dan kawasan pusat bandar (CBD).
Lebih-lebih lagi, masjid yang berdekatan dengan Makam Habib Noh ini mempunyai bilangan pengunjung yang semakin bertambah dari seluruh dunia, termasuk Indonesia, Malaysia dan Brunei.
Oleh itu, kerja-kerja naik taraf perlu dilaksanakan segera bagi menampung jumlah jemaah yang ramai, sekaligus memberi keselesaan kepada pengunjung ke sini.
BANYAK KEROSAKAN BERLAKU
Menurut Cik Noorimah, terdapat beberapa bahagian di masjid dan makam yang memerlukan penggantian serta baik pulih.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), beliau memberitahu: "Atas faktor usia yang sudah menjangkau lebih 100 tahun, kini keadaan masjid dan makam yang usang memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian.
"Terdapat beberapa bahagian tembok yang mengalami rekahan, jubin yang terpasang mula terkopek dan warna cat juga semakin lusuh.
"Kemudahan lif di masjid juga memerlukan baik pulih kerana ia sering berdepan dengan masalah kebocoran, terutamanya ketika hujan lebat.
WUJUDKAN SEKITARAN SELAMAT
"Secara umumnya, usaha naik taraf ini penting bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk para jemaah yang berkunjung ke Masjid Haji Muhammad Salleh dan Makam Habib Noh.
"Oleh itu, sumbangan diperlukan bagi mempercepat kerja-kerja pemuliharaan masjid dan makam yang tinggi dengan nilai sejarah demi tatapan generasi muda hari ini dan akan datang."
Pada peringkat awal, lokasi Masjid Haji Muhammad Salleh, yang asalnya sebuah surau, tidak terletak begitu dekat dengan Makam Habib Noh.
ZIARAH MAKAM HABIB NOH
Kemudian, ia telah dibina semula bersebelahan Makam Habib Noh di Palmer Road sekitar tahun 1903.
Perubahan lokasi tersebut membolehkan para pengunjung menziarahi Makam Habib Noh, selepas menunaikan solat di Masjid Haji Muhammad Salleh.
Di samping itu, amalan menziarahi kubur adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam, khususnya bagi memperingatkan masyarakat tentang kematian.
Seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dengan sanad yang sahih, di mana Nabi saw bersabda, yang maksudnya: "Adalah aku dahulunya menghalang kamu daripada menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat."
Cik Noorimah yang telah berkhidmat dengan masjid selama 12 tahun berkata:
"Amalan ziarah kubur boleh menjadi satu refleksi kepada mereka yang masih hidup agar masing-masing terus memanfaatkan peluang kehidupan ke arah lebih baik.
"Kebanyakan pengunjung yang berkunjung ke Makam Habib Noh adalah mereka yang ingin memberi penghormatan, menghayati kisah kebaikan dan memperingati kewujudan seorang wali Allah swt yang sangat hebat ketika hayatnya."
AJAK ORANG RAMAI MENDERMA
Beliau turut mengharap,kan agar masyarakat Islam Singapura dapat bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada dana peningkatan Masjid Haji Muhammad Salleh dan Makam Habib Noh.
"Manfaat sedekah yang besar ini bukan hanya dirasai oleh para penerima, malah ia juga akan dinikmati oleh para pemberi di akhirat kelak.
"Segala sumbangan, kami dahului dengan ucapan terima kasih. Insya-Allah, sumbangan anda akan membantu kami memberi kemudahan lebih selesa kepada jemaah Masjid Haji Muhammad Salleh dan para pengunjung Makam Habib Noh," katanya.
CARA MENYUMBANG
- Imbas kod QR yang disediakan di kanan atau PayNow ke S03MQ0039G
- Pemindahan wang ke akaun semasa OCBC 59100798-400 di bawah nama akaun 'LPM HAJI MUHAMMAD SALLEH'. Sila nyatakan di ruang rujukan (reference) sama ada untuk derma masjid atau dana makam.
- Layari www.hjmuhdsalleh.org.sg atau hubungi talian 6220-9257 untuk maklumat yang lebih lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg