PARA penjual dalam talian perlu disahkan manakala undang-undang perlindungan pengguna sepatutnya diluaskan untuk meliputi urus niaga antara pengguna melalui wadah media sosial.
Ini adalah antara saranan yang diusulkan oleh Encik Melvin Yong (Radin Mas) di Parlimen pada Rabu.
Menurut beliau walaupun e-dagang dan urus niaga dalam talian telah menjadikan kehidupan lebih mudah, ia juga membawa risiko dan bahaya yang ketara.
Ini memandangkan lebih banyak urus niaga sedang dijalankan menerusi Internet, bilangan penipuan dalam talian juga telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lalu.
Lantaran itu, Encik Yong berpendapat perlunya untuk mempertingkatkan undang-undang perlindungan pengguna untuk e-dagang, mengukuhkan perlindungan untuk pembayaran digital, dan mengawal selia skim kredit pengguna yang menjadi trend seperti perkhidmatan 'Beli Sekarang Bayar Kemudian'.
Dalam mengukuhkan undang-undang melindungi pengguna, Encik Yong menyarankan agar para penjual dalam pasaran dalam talian disahkan.
"Kewajipan untuk memastikan kesahihan penjual harus ditanggung oleh pasaran dalam talian.
"Dengan mengenakan yuran dan komisen platform, pasaran dalam talian perlu memastikan agar peniaga yang disenaraikan di platform mereka adalah tulen dan sah.
"Pasaran dalam talian harus memeriksa dan mengesahkan kelayakan penjual sebelum membenarkan mereka menyenaraikan dan menjual produk di platform mereka," ujar beliau.
Satu lagi saranannya ialah untuk melanjutkan undang-undang perlindungan pengguna untuk meliputi urus niaga pengguna-pengguna yang dibuat melalui platform media sosial.
"Hari ini, undang-undang perlindungan pengguna kita tidak meliputi secukupnya urus niaga jualan yang dibuat antara dua individu melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram atau TikTok," jelas Encik Yong.
Tambahnya, menurut beberapa penganalisis, sektor perdagangan sosial di Singapura dijangka mencecah lebih AS$1.25 bilion ($1.67 bilion) menjelang tahun ini.
Sementara itu, Encik Yong berpendapat bahawa pasaran dalam talian harus memastikan terdapat mekanisme untuk melindungi pembayaran pengguna.
Satu cara, menurut Encik Yong, ialah dengan menyertakan akaun eskrow dalam proses urus niaga.
"Ini bermakna apabila pengguna membuat pembelian, bayaran kepada penjual dipegang sementara oleh sesuatu platform itu untuk satu tempoh, dan dilepaskan kepada penjual apabila pengguna mengesahkan bahawa barang itu dihantar dan dalam keadaan baik," usul beliau.
Kata Encik Yong, dengan mewajibkan akaun eskrow akan memberi pengguna lebih banyak ketenangan fikiran apabila membeli-belah dalam talian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg