Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlu tingkat kemampuan digital untuk bersaing pasca-Covid-19

Nov 17, 2020 | 5:30 AM
SAMPAIKAN UCAPAN PEMBUKAAN: Encik S. Iswaran menyampaikan ucapan pembukaan di Persidangan Wawasan MCI di Pusat Konvensyen dan Expo Sands semalam. Acara itu dihadiri 180 peserta secara fizikal dan mereka semua menjalani ujian pantas antigen dan didapati negatif Covid-19. - Foto BH oleh GIN TAY
SAMPAIKAN UCAPAN PEMBUKAAN: Encik S. Iswaran menyampaikan ucapan pembukaan di Persidangan Wawasan MCI di Pusat Konvensyen dan Expo Sands semalam. Acara itu dihadiri 180 peserta secara fizikal dan mereka semua menjalani ujian pantas antigen dan didapati negatif Covid-19. - Foto BH oleh GIN TAY -

SYARIKAT di Singapura perlu menggandakan kemampuan digital mereka dan begitu juga pekerja harus meningkatkan kemahiran digital mereka agar Singapura dapat kekal berdaya saing pada masa depan pasca-Covid-19.

Bercakap kepada wartawan selepas Persidangan Wawasan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) di Pusat Konvensyen dan Expo Sands semalam, Menteri Perhubungan dan Penerangan S. Iswaran menekankan peri pentingnya strategi pendigitalan Singapura.

"Saya fikir salah satu aspek penting dalam daya saing ekonomi kita bergantung pada strategi digital yang kita laksana.

"Dari satu sudut, ia membolehkan kita mengatasi sebarang had yang wujud dari segi geografi atau saiz, pada sudut lain pula ia membolehkan kita meneroka dan memanfaatkan bidang nilai baru," ujar beliau.

Dengan pendigitalan, perniagaan kecil di Singapura dapat mengakses pasaran dunia, jelas Encik Iswaran.

Oleh itu, jika syarikat dan pekerja meningkatkan kebolehan digital mereka, ia akan menempatkan Singapura di landasan baik dari segi ekonomi, bukan pasca-Covid-19 sahaja, bahkan sekarang.

"Ini pada dasarnya akan mengukuhkan daya saing kita," kata beliau.

Encik Iswaran turut menekankan pentingnya penggunaan inisiatif seperti infrastruktur data bersama untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

"Jika anda lihat industri rantaian bekalan, terdapat banyak pertukaran kertas... dan ini menyebabkan hilangnya kecekapan dan kurangnya produktiviti.

"Tapi jika anda boleh beralih ke platform sama menggunakan infrastruktur data bersama, ini bermakna penyedia khidmat logistik dapat bekerjasama dengan lancar dengan keselamatan kastam, pengirim dapat bekerjasama dengan penghantar, dan bank yang memperuntukkan pembiayaan perdagangan dapat mengesan pergerakan barangan.

"Secara keseluruhan, ini bererti ia mewujudkan sistem rantaian bekalan lebih dipercayai, boleh diharap dan efektif, yang digabungkan oleh data yang dikongsi bersama," ulasnya.

Infrastruktur tersebut dipimpin oleh Pakatan Tindakan bagi Pendigitalan Rantaian Bekalan, yang terdiri daripada 50 pemain dalam ekosistem rantaian bekalan, termasuk syarikat berbilang negara (MNC), syarikat kecil dan sederhana (SME), agensi pemerintah dan syarikat permulaan (start-up).

Encik Iswaran menyertai 500 peserta secara dalam talian dan fizikal dalam Persidangan tersebut.

Semua peserta yang hadir secara fizikal di acara itu melalui ujian pantas antigen (ART) bagi mengesahkan mereka tidak dijangkiti koronavirus Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke ruang utama acara.

Kesemua 180 peserta didapati negatif Covid-19 semalam.

KES COVID-19 DI SG - 16 NOV

JUMLAH KES BARU: 5

DALAM MASYARAKAT: 0

DI DORMITORI: 0

IMPORT: 5

JUMLAH KEMATIAN: 28

JUMLAH KESELURUHAN: 58,124 (hingga 12 tengah hari semalam)

Laporan terkini kes Covid-19 setempat boleh didapatkan dengan melayari laman www.BH.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg