Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan komputer meja lonjak dalam tiga bulan pertama 2022
Permintaan komputer meja lonjak dalam tiga bulan pertama 2022
Permintaan komputer meja lonjak dalam tiga bulan pertama 2022
PERMINTAAN bagi komputer meja atau 'desktop' di Singapura melonjak tinggi dalam tiga bulan pertama tahun ini berbanding suku sebelumnya dengan lebih banyak kelonggaran sekatan Covid-19.
Jumlah komputer meja yang dihantar ke Singapura antara Januari dengan Mac meningkat hampir 28 peratus kepada 79,000 berbanding tiga bulan sebelumnya, menurut data hasil kajian pasaran syarikat Canalys yang dikeluarkan bulan ini.
Pada masa yang sama, penghantaran komputer meja keseluruhan secara global jatuh 10 peratus dalam tempoh yang sama.
Meskipun pasaran komputer riba Singapura lebih besar berbanding komputer meja, hanya sekitar 472,000 unit komputer riba dihantar ke Singapura antara Januari hingga Mac - 10 peratus lebih rendah berbanding jumlah yang dicatatkan antara Oktober dan Disember.
Jumlah komputer riba yang dihantarkan secara global juga jatuh 13 peratus.
Penganalisis PC Canalys Singapore, Cik Himani Mukka, berkata pasaran komputer peribadi (PC) negara biasanya mengikut trend global namun suku pertama 2022 berbeza bagi komputer meja, dengan kelonggaran sekatan yang diperkenal pemerintah serta lebih ramai pekerja yang kembali ke pejabat.
Ini bermakna perniagaan mampu melabur terhadap pembelian perkakas teknologi untuk pejabat, katanya.
Naib Presiden dan pengarah pengurusan di Dell Technologies Singapura, Encik Andy Sim berkata lebih banyak pejabat kini dibuka dan memilih membeli komputer baru.
Menyentuh tentang pilihan komputer meja berbanding riba, Cik Mukka berkata kebanyakan perniagaan di sini, termasuk syarikat dalam industri kewangan - lebih rela menggunakan komputer meja bagi sebab-sebab keselamatan.
Sebanyak 50 peratus pekerja - yang sebelum ini bekerja dari rumah (WFH) - dibenarkan kembali ke pejabat sejak 1 Januari dengan lebih ramai yang sudah menerima vaksin penuh. Jumlah tersebut meningkat kepada 75 peratus pada 29 Mac dan kemudiannya dibuka kepada semua pekerja sejak 26 April.
Menurut Cik Mukka, penghantaran PC juga meningkat pada suku keempat 2021 disebabkan acara khas akhir tahun seperti Black Friday, Cyber Monday dan Krismas.
Meskipun jumlah penghantaran PC dijangka menjunam pada suku berikutnya setelah permintaan kembali seperti biasa, keadaannya berbeza bagi pasaran komputer peribadi Singapura kali ini.
Satu lagi sebab meningkatnya jumlah penghantaran komputer meja sejak Oktober tahun lalu ke Mac tahun ini adalah kerana ramai pekerja ingin mendapatkan komputer lebih besar supaya dapat bekerja dengan lebih baik.
"Ramai yang telah mempertingkat alat mereka sepanjang tahun lalu demi tahap produktiviti yang lebih tinggi. Pendapatan yang tinggi (juga memainkan peranan) memandangkan kurangnya aktiviti rekreasi dan pelancongan (disebabkan Covid-19).
"Ramai yang sedar mereka mungkin perlu bekerja di rumah buat jangka masa panjang," tambahnya.
Jumlah penghantaran PC - termasuk komputer meja dan komputer riba - terus meningkat di Singapura dengan mencecah lebih 1.89 juta unit.
Komputer riba menunjukkan peningkatan paling tinggi lebih 55 peratus, berbanding 22 peratus komputer meja.
