Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan kurang, tapi harga durian lebih mahal
Permintaan kurang, tapi harga durian lebih mahal
Permintaan kurang, tapi harga durian lebih mahal
HARGA durian Musang King kini mencecah $23-$25 sekilogram - lebih tinggi berbanding $18-$20 sekilogram tahun lalu. Dan jika musim durian lazimnya dari Jun hingga Ogos, ia boleh berlanjutan sehingga September dan Oktober pula tahun ini. Ini disebabkan cuaca tidak menentu di Malaysia, kos baja yang lebih mahal dan permintaan yang berkurang menjadi antara faktor penyumbang, kata peniaga durian yang dihubungi Berita Harian (BH). "Ia terutamanya disebabkan musim hujan. Jumlah durian berkurang berbanding tahun-tahun sebelumnya, jadi harga lebih mahal. "Ini ditambahkan lagi dengan perang Ukraine-Russia baru-baru ini yang menyebabkan kos baja turut meningkat. "Pengedar kami naikkan harga sebanyak 20 peratus," kata pemilik The Durian Story, Encik Jonathan Tee. Beliau menambah bahawa musim hujan telah menjejas hasil tuaian kerana bunga mekar agak lambat, justeru musim durian yang sepatutnya mencapai puncak bulan ini dan bulan depan, mungkin berlanjutan hingga September dan Oktober. Singapura mendapatkan 89 peratus bekalan durian dari Malaysia, dengan yang lain dari Thailand dan Filipina, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dua tahun lalu. Akhbar Malaysia The Star pada Februari dan Mei meramalkan harga durian mencecah lebih 40 peratus tahun ini berbanding tahun lalu. Ia disebabkan harga buruh dan baja yang meningkat, serta cuaca buruk yang menjejas pendebungaan durian. Pemilik Lele Durian, Encik Raymond Ng, yang baru-baru ini ke Johor untuk mengunjungi kebun durian dimaklumkan bahawa penuaian durian akan lebih panjang tahun ini. "Untuk pokok durian tumbuh... cuaca memainkan peranan penting. "Jika satu malam hujan turun dengan lebat dan angin kencang, bunga durian akan hilang tersapu. "Jika terlalu panas, ia akan menjadi kering. "Sebab itulah sukar meramalkan penghasilan durian kerana ia bergantung kepada cuaca," katanya yang menambah bahawa inilah antara sebab mengapa durian secara amnya merupakan buah yang mahal. Encik Tee bersetuju bahawa menuai durian ini memerlukan "banyak usaha gigih".
