PERMINTAAN bagi pakej kapal persiaran dan khidmat feri ke destinasi berdekatan di Indonesia dan Malaysia terus meningkat biarpun ia belum mencecah rekod sebelum pandemik.
Lebih 723,000 penumpang kapal persiaran dicatatkan di sini sepanjang tahun lalu menurut perangkaan Rangkaian Analitis Pelancongan Singapura (Stan) di laman Lembaga Pelancongan Singapura (STB), naik hampir seganda berbanding jumlah sekitar 409,000 pada 2020.
Namun jumlah tahun lalu hanya sekitar 40 peratus berbanding lebih 1.8 juta penumpang kapal persiaran yang dicatat pada 2019 sebelum wabak meranapkan sektor pelancongan.
Trend yang hampir serupa dilihat bagi penggunaan khidmat feri ke destinasi berdekatan seperti Malaysia dan Indonesia.
Antara Januari dengan September 2022, 1.1 juta penumpang melalui terminal feri antarabangsa Singapura di Pusat HarbourFront dan Tanah Merah.
Pada Jun, dengan pembukaan semula sempadan, Terminal Penumpang HarbourFront kembali beroperasi selepas lebih dua tahun ditutup akibat pandemik Covid-19.
Lebih banyak daya tarikan muncul apabila khidmat feri antara Tanah Merah dan Desaru di pantai timur Johor dilancarkan pada Julai, dengan satu perjalanan pergi balik sehari dari Khamis hingga Ahad disediakan buat masa ini.
Pengendali Batam Fast telah mencatatkan peningkatan yang berterusan dalam permintaan untuk perkhidmatan feri Desaru.
Pengurus Besar Batam Fast, Encik Chua Choon Leng, berkata 2,000 penumpang menggunakan perkhidmatan itu pada Julai.
Jumlah ini meningkat kepada 2,600 pada Ogos dan 3,500 pada September, dengan pengunjung tertarik oleh resort pelbagai, laluan berbasikal dan padang golf di sana.
Encik Chua berkata antara Julai dengan September lalu, purata 50,000 penumpang sebulan menggunakan perkhidmatan feri Batam Fast antara Batam dan Singapura, berbanding purata 10,000 penumpang sebulan antara April dengan Jun.
Bagaimanapun, jumlah itu masih sebahagian kecil daripada jumlah - 200,000 hingga 250,000 penumpang sebulan - sebelum wabak Covid-19 melanda, tambahnya.
Biarpun banyak sekatan perjalanan telah dilonggarkan, Encik Chua memerhatikan beberapa faktor masih menjejas permintaan khususnya daripada warga bukan Asean yang menetap di Singapura.
"Warga ekspatriat yang bukan warga Asean perlu mendapatkan visa semasa ketibaan di Indonesia. Ini mungkin menghalang warga asing yang tinggal di Singapura untuk mengunjungi Batam atau Bintan.
"Dalam pada itu, China juga belum membuka sempadannya sepenuhnya, menghalang pelancong dari negara itu ke luar negara," kata Encik Chua ketika dihubungi.
Pembekal khidmat riadah seperti Encik Steven Japari, Ketua Divisyen Golf Sinarmas Land, memerhatikan jumlah tetamu ke Palm Springs Golf & Country Club di Batam misalnya telah meningkat ke paras 50 peratus berbanding sebelum wabak melanda.
"Selain keperluan mendapatkan visa (bagi warga bukan Asean), kos feri juga telah meningkat," kata beliau.
Bagi sektor kapal pesiaran pula, permintaan semakin meningkat terus diperhatikan anggota sektor tersebut.
Menjawab pertanyaan Berita Harian, Presiden Resorts World Cruises Encik Michael Goh, berkata sejak melancarkan pelayaran pertama syarikat itu pada 15 Jun lalu, sambutan daripada pasaran domestik dan antarabangsa sungguh menggalakkan.
"Pakej bagi cuti sekolah dan cuti akhir tahun akan datang sudah hampir dijual kesemuanya," kata beliau.
Encik Goh menambah, kelonggaran sekatan Covid-19 secara beransur-ansur pastinya telah meningkatkan segmen 'Fly-Cruise' (terbang-belayar) daripada pelbagai pasaran antarabangsa.
Contohnya semasa pelancaran jenama syarikat itu, ia menerima lebih 20,000 tempahan daripada pasaran India dan antarabangsa.
Beliau juga berkata sambutan daripada pelanggan Muslim juga menggalakkan.
"Memandangkan kapal Genting Dream diiktiraf sebagai Kapal Persiaran Mesra Halal Standard OIC/SMIIC pertama di dunia, ini akan menarik perhatian pelanggan Muslim di serata rantau ini.
"Menyediakan tawaran mesra Muslim, termasuk makanan dan minuman halal akan memberi lebih banyak peluang kepada tetamu Muslim meneroka pelayaran sebagai pilihan percutian. Kami juga memerhatikan bahawa kesedaran tentang tawaran Mesra Halal semakin berkembang dan khabar dari mulut ke mulut sangat berkesan," kata Encik Goh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg