SEKUMPULAN penduduk Singapura telah berusaha gigih untuk mengatur penerbangan khas ke Bangladesh bagi menunaikan hajat seorang pekerja asing yang menghidap penyakit barah untuk pulang bertemu keluarganya di Dhaka sempena Hari Raya Aidilfitri.
Encik Sikdar Rana, 34 tahun, seorang pekerja limbungan kapal, menghidapi penyakit barah perut tahap lanjut bulan lalu dan dirawat di Hospital Besar Singapura (SGH).
Beliau teringin pulang ke pangkuan keluarganya, untuk mendakap anak lelakinya yang berusia enam tahun buat kali terakhir.
Pada awalnya, beliau dijadualkan terbang pulang pada 19 Mei lalu, namun dengan pelanjutan sekatan pergerakan di Bangladesh pada 14 Mei, semua penerbangan ke Dhaka telah dibatalkan.
Doktor yang merawat beliau bimbang masa tidak akan menyebelahinya jika mereka menunggu hingga tempoh sekatan pergerakan di sana berakhir pada 30 Mei.
"Beliau dalam keadaan hampir putus asa...namun memikirkan tentang anaknya membuat beliau terus bertahan.
"Beliau mungkin tidak mempunyai banyak masa, jadi kami ingin membantu dalam memastikan beliau dapat pulang bertemu keluarga secepat mungkin," kata Dr Cynthia Goh, kepada akhbar The Straits Times.
Dr Goh, yang merupakan pakar perunding kanan dari bahagian rawatan sokongan dan paliatif di Pusat Barah Kebangsaan Singapura, telah meminta pertolongan bagi mengumpulkan dana untuk penerbangan evakuasi perubatan ke Bangladesh yang berharga sekitar $55,000.
Pada Khamis lalu, beliau dirujuk ke Pusat Pekerja Asing (MWC), sebuah kumpulan kebajikan pekerja asing yang disokong oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan dan majikan.
Dengan bantuan dari syarikat evakuasi perubatan Hope Medflight Asia, yang menawarkan harga yang lebih rendah, mereka berjaya menunaikan hajat Encik Sikdar untuk menyambut Syawal bersama keluarganya.
Bercakap kepada ST, Encik Sikdar berkata, beliau bersyukur dengan segala bantuan dan usaha yang telah dilakukan untuk membantu beliau bertemu keluarganya untuk kali terakhir.
"Ini mungkin Aidilfitri terakhir bagi saya. Selepas sekian lama, saya akhirnya dapat merasakan masakan ibu saya..saya rasa seperti di syurga.
"Saya tidak tahu berapa ramai yang telah bertungkus-lumus untuk membantu saya, tetapi dengan rendah hati, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka semua.
"Kerana mereka, saya kini dapat bersama anak saya...dan saya boleh pergi dengan tenang," ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg