FIRMA pengurup wang di sini menyaksikan pembelian rancak dolar Amerika Syarikat, mata wang euro dan pound Britain sedang dolar Singapura terus kukuh pada masa ini.
Dan menjelang cuti hujung tahun, firma-firma pengurup wang yakin bahawa perniagaan akan terus menunjukkan peningkatan.
Pemilik syarikat Clifford Gems & Money Exchange, Encik Mohamed Rafeeq Mohamed Yusoof, berkata perniagaannya meningkat sekitar 30 peratus kebelakangan ini berbanding semasa Covid-19 - kebanyakannya didorong nilai dolar Singapura yang semakin kukuh.
"Ramai yang datang ingin membeli dolar Amerika dan pound Sterling.
"Semasa berbual dengan sesetengah mereka, saya diberitahu ada yang buat persiapan kerana anak-anak akan mula pengajian di luar negara.
"Ada pula yang buat persiapan untuk bercuti hujung tahun ini.
"Tidak kurang juga mereka yang akan ke luar negara atas urusan kerja dan perniagaan," katanya lagi.
Menurutnya firma beliau yang terletak di pusat beli belah Raffles City yang telah beroperasi sejak 1994, terjejas teruk sepajang dua tahun lalu, namun mula bangkit sejak beberapa bulan lalu.
Dengan sempadan antarabangsa telah dibuka, perniagaan pengurup wang di sini mula menyaksikan peningkatan yang menggalakkan kerana semakin ramai pelanggan yang menukar mata wang.
Mereka mendapat manfaat setelah lebih ramai warga Singapura ke luar negara atau merancang untuk melancong, di samping pelancong yang datang ke negara ini.
Langkah Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengukuhkan lagi nilai dolar Singapura bagi membendung inflasi dan memastikan kestabilan harga jangka panjang, menyebabkan nilai dolar Singapura terus meningkat.
Dolar Singapura lebih kukuh dapat mengurangkan inflasi barangan dan bahan mentah import.
Inflasi import merupakan sumber utama kenaikan harga inflasi di Singapura yang membeli sebahagian besar produk dari luar negara.
Pada masa ini, tukaran bagi 1 pound Britain adalah sekitar $1.679; 1 euro ($1.426); 1 dolar Amerika ($1.391); 1 dolar Australia ($0.968).
Pengurus di Mustafa Foreign Exchange, Encik Jamalun Nasir, berkongsi nilai tukaran mata wang asing yang terkini berkata pihaknya menjual sehingga $20,000 mata wang euro hujung minggu lalu dan sehingga $10,000 bagi mata wang pound.
"Saya jangkakan trend ini akan berterusan sehingga akhir tahun ini.
"Namun dengan pandemik Covid-19 dan penyakit lain masih wujud, kita tidak begitu pasti apakah kesannya ke atas kami kelak," jelasnya.
Namun pemilik Straits Foreign Exchange di pusat beli belah West Mall, Encik Oli Mohamed, berkata pihaknya tidak melihat perniagaan yang melonjak banyak sejak awal tahun ini.
"Sekiranya dibandingkan dengan tempoh semasa pandemik Covid-19 mula melanda dua tahun lalu, keadaan masa kini lebih baik.
"Meskipun begitu perniagaan masih agak perlahan.
"Mungkin kerana lokasi kedai saya di kawasan estet perumahan matang, atau belum ramai yang benar-benar akan melancong, dan juga kerana kebetulan tidak ramai yang menukar mata wang asing di kedai ini.
"Mudah-mudahan perniagaan dapat meningkat terus menjelang akhir tahun ini apabila cuti sekolah bermula," ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg