Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermohonan pemain Wolves lepaskan kerakyatan S'pura ditolak
Permohonan pemain Wolves lepaskan kerakyatan S'pura ditolak
PEMAIN bola sepak kelahiran Singapura, Harry Birtwistle, yang menandatangani kontrak profesional dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Wolverhampton Wanderers Rabu lalu, didapati berada di luar negara tanpa permit keluar yang sah dan telah memohon untuk melepaskan kerakyatannya, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) hari ini. Menjawab pertanyaan, jurucakap Mindef berkata, beliau adalah warga Singapura yang pernah tinggal di Singapura dan juga memegang pasport Singapura. "Ibu bapa Encik Birtwistle memohon untuk melepaskan kerakyatan Singapuranya," tambah jurucakap itu. "Permohonan beliau ditolak kerana pelepasan tidak sepatutnya digunakan sebagai cara untuk mengelak tugas NS (perkhidmatan negara). Dalam surat-menyurat keluarganya dengan Mindef, mereka telah menyatakan bahawa Birtwistle tidak akan mendaftar untuk NS. "Sejak itu, Encik Birtwistle telah gagal mendaftar untuk NS seperti yang dikehendaki. Beliau juga tinggal di luar negara tanpa permit keluar yang sah. Encik Birtwistle telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pendaftaran (Enlistment Act)." Encik Birtwistle, yang ibunya Cina warga Singapura dan bapanya orang British, dilahirkan di Singapura dan menetap di sini hingga berusia 13 tahun, sebelum berpindah ke England pada 2017 untuk mengejar impiannya menjadi pemain EPL. Beliau menandatangani biasiswa dengan Wolves tidak lama kemudian. Pemain pertahanan itu, yang berusia 18 tahun Disember ini, telah memberitahu The Straits Times (ST) dalam wawancara melalui Zoom pada Rabu bahawa beliau "terbuka kepada apa sahaja" apabila menyentuh topik mewakili Singapura - yang bermakna beliau terpaksa melepaskan pasport Britishnya dan mendaftar untuk NS - tetapi "100 peratus fokus" untuk berjaya di Wolves buat masa ini. Musim ini, Encik Birtwistle kebanyakannya tampil untuk pasukan Bawah 23 tahun Wolves yang bermain dalam Liga Perdana 2, dan menurut laman web Wolves, beliau telah muncul dalam tujuh perlawanan daripada sembilan musim ini, dan telah bermain selama 499 minit. Beliau juga telah dijemput untuk berlatih dengan pasukan pertama Wolves "sekitar satu atau dua kali seminggu" sejak musim bermula pada Ogos, dan sering bermain seiring pemain profesional dan antarabangsa yang berpengalaman. Dibimbing jurulatih warga Portugis Encik Bruno Lage, Wolves berada di tangga ke-11 dalam EPL 20 pasukan selepas 10 perlawanan. Encik Birtwistle ditukil ST berkata beliau ingin kembali ke Singapura Krismas ini, di mana ibu dan adik-beradiknya tinggal, dan bahawa "Singapura sahaja yang saya tahu", tetapi pengumuman Mindef kini meletakkan tanda tanya pada rancangannya.