Topik diikuti
Pergi ke BHkuPernah hidup susah, kini terajui agensi bantu lebih 30,000 individu setahun
Pernah hidup susah, kini terajui agensi bantu lebih 30,000 individu setahun
Membesar dalam keluarga berpendapatan rendah selepas kehilangan bapanya pada usia muda, Encik Fareez Fahmy menyaksikan sendiri keperitan ibunya menyara keluarga.
Namun, hal tersebut tidak pernah menghambat beliau daripada terus menghulurkan bantuan kepada orang lain yang memerlukan.
Sikap prihatin ibunya menjadi inspirasi untuk Encik Fareez menceburi bidang kerja sosial, dengan kepercayaan bahawa mereka yang menghadapi kesusahan juga mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada masyarakat.
Hampir dua dekad selepas menyertai Allkin Singapore pada 2006, Encik Fareez, 44 tahun, kini menerajui pertubuhan itu sebagai ketua pegawai eksekutif.
Allkin, yang membantu lebih 30,000 individu setiap tahun, menerima Anugerah Agensi Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam sektor khidmat sosial.
Bagi Encik Fareez, yang juga bapa dua anak berusia 20 dan 13 tahun, pengalaman hidupnya banyak membentuk cara beliau memahami cabaran yang dihadapi keluarga memerlukan.
Beliau mengimbas bagaimana ibunya, meskipun berdepan kesempitan hidup, tetap membantu jiran yang mengalami keganasan rumahtangga.
“Ibu saya sentiasa menggalakkan saya bekerja keras, sambil berusaha sedaya upaya mengatasi cabaran yang dihadapi keluarga kami, sama ada dengan mendapatkan bantuan kewangan atau sokongan ahli keluarga.
“Pada masa yang sama, beliau juga sering mengajak saya membantu orang lain yang memerlukan, sama ada jiran, ahli keluarga mahupun orang yang tidak dikenali,” katanya.
Pengalaman menerima sokongan daripada keluarga besar dan sistem bantuan sosial turut mendorongnya memilih kerjaya yang membolehkan beliau menyumbang kepada kehidupan orang lain.
Namun, setelah hampir dua dekad dalam bidang tersebut, beliau menyedari bahawa membantu golongan memerlukan bukan sekadar memberi nasihat atau menyediakan bantuan.
Sebaliknya, pekerja sosial perlu mengenal pasti kekuatan, pengalaman dan kebolehan individu yang dibantu.
Pendekatan itu menjadi antara prinsip utama Allkin, yang berusaha memperkasa penerima bantuan agar mereka turut berpeluang menyumbang kepada masyarakat.
Antara contohnya ialah empat ibu yang menerima sokongan daripada Pusat Khidmat Keluarga Allkin di Cheng San.
Pada mulanya, mereka terlibat dalam kegiatan mengumpul sumbangan makanan dan mengagihkan bubur semasa Ramadan.
Hubungan yang terjalin mendorong mereka membentuk kumpulan yang dikenali sebagai ‘Supermamas’, bagi membantu ibu lain berkongsi sumber dan menangani cabaran keibubapaan.
Mereka turut menganjurkan kelas persediaan bagi kanak-kanak yang bakal memasuki Darjah Satu, dengan bantuan seorang guru prasekolah sukarelawan yang juga merupakan penerima khidmat pusat tersebut.
Satu lagi contoh ialah Cik Lydia Susiyanti Sukarbi, yang pernah mendapatkan bantuan Allkin ketika keluarganya menghadapi masalah kewangan.
Dengan sokongan pertubuhan itu, beliau mengembangkan kemahiran menjahit dan mengurus acara sehingga berjaya menjalankan perniagaan pengantin dari rumah.
Beliau kemudian mengasaskan inisiatif Breakfast Buddy, yang menyediakan sarapan percuma bagi kanak-kanak di kawasan Ang Mo Kio.
Usaha kemasyarakatannya membawa kepada pencalonannya sebagai finalis Anugerah Warga Singapura Terbaik 2025 anjuran The Straits Times (ST).
Selain memperkasa individu, Allkin turut memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bagi menangani cabaran sosial yang semakin rumit.
Antaranya ialah Project Rahmah, hasil kerjasama dengan Yayasan Lien, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Al-Islah.
Inisiatif itu membawa sokongan sosial ke persekitaran masjid, membolehkan warga emas mendapatkan bantuan pekerja sosial di tempat yang sudah biasa mereka kunjungi.
Menurut Encik Fareez, kerjasama sedemikian mencerminkan semangat gotong-royong yang ingin dipupuk Allkin, apabila pertubuhan dan masyarakat berganding bahu membantu golongan memerlukan.
Pada tahun kewangan 2025, sukarelawan Allkin turut menyumbang sebanyak 32,973 jam khidmat, bersamaan anggaran kos tenaga kerja sekitar $660,000.
Mengulas mengenai anugerah yang diterima, Encik Fareez berkata pengiktirafan itu bukan sahaja menghargai usaha pertubuhan, malah menjadi peringatan tentang tanggungjawab untuk terus mempertingkat mutu khidmat.
Beliau mendedikasikan anugerah tersebut kepada kakitangan Allkin yang menurutnya sering bekerja di sebalik tabir demi memastikan masyarakat mendapat sokongan yang diperlukan.
Pada masa hadapan, beliau berharap masyarakat Singapura dapat mengikis tanggapan bahawa individu memerlukan bantuan kerana mereka tidak berusaha secukupnya.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa ramai yang sudah bekerja keras, namun masih berdepan pelbagai halangan termasuk tekanan kewangan, tanggungjawab penjagaan dan masalah kesihatan.
Bagi beliau, masyarakat yang benar-benar prihatin ialah masyarakat yang membolehkan setiap individu mendapatkan bantuan apabila diperlukan, di samping diberi peluang menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.