Bukan satu, malah dua kereta klasik yang pernah Encik Nadhir Zainal miliki pada pada satu masa, suatu ketika dulu.
Kedua-dua kereta tersebut – 1973 Volkswagen (VW) Beetle dan Mercedes Benz W108 yang dibuat pada era 1970-an – dibelinya kerana minat mendalam terhadap kereta lama yang kian kurang dipandu di jalan raya Singapura.
Malah jurugambar perkahwinan dan pengasas syarikat Airisu itu turut menggunakan kedua kenderaan tersebut bagi tujuan penggambaran perkahwinan.
Bak kata pepatah, ‘sambil menyelam minum air’.
“Saya memang minat terhadap kereta klasik ini, terutama kereta VW Beetle lama, selepas melihat seorang pegawai Perkhidmatan Negara (NS) saya memandunya.
“Dari situ, saya menanam impian untuk memiliki kereta tersebut selepas saya mendapat lesen kereta,” kata Encik Nadhir, 35 tahun.
Disebabkan cinta pandang pertama, beliau terlebih dahulu telah membuat bayaran pendahuluan bagi kereta impiannya itu beberapa bulan sebelum lulus ujian memandu sekitar lima tahun lalu.
Banyak kajian yang telah beliau lakukan sebelum membeli kereta itu, di samping mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pemilik dan peminat kereta VW Beetle lama yang lain.
Didorong “perasaan yang memuaskan apabila memandu sebuah kereta klasik”, Encik Nadhir mengambil keputusan untuk melabur dalam sebuah lagi kereta klasik, yang beliau sifatkan sebagai “kenderaan yang tidak luput dek ditelan zaman”.
Secara keseluruhan, Encik Nadhir telah membelanjakan hampir $130,000 bagi kedua-dua kereta tersebut
Kereta VW Beetle dibeli dengan harga sekitar $78,000 sementara Mercedes Benz W108 dibelinya pula dengan harga sekitar $45,000.
Tidak seperti kereta VW Beetle beliau yang menggunakan nombor plat kereta biasa dan digunakan setiap hari, Encik Nadhir mendaftarkan kereta Mercedes itu di bawah skim kenderaan klasik, yang bermakna beliau hanya dapat memandunya untuk 45 hari dalam masa setahun.
Meskipun wang yang dibelanjakan agak besar – yang turut termasuk kos penyelenggaraan dan memperbaiki kereta lama – namun beliau tetap berpuas hati dengan pelaburannya itu.
“Jika dijaga dengan betul dan diberikan kasih sayang yang sewajarnya, pada pandangan saya sendiri, kereta klasik ini mampu memberikan kebahagiaan yang tidak terkata berbanding dengan kereta baru.
“Dalam pada masa yang sama, sebagai seorang jurugambar majlis perkahwinan, ia juga merupakan satu peluang bagi saya untuk meraih pendapatan tambahan dengan menyewa kereta klasik yang unik ini kepada mempelai,” tambahnya.
Hasrat tersebut bagaimanapun tidak dapat bertahan angkara pandemik Covid-19 yang melanda sekitar tiga tahun lalu.
Perniagaannya terjejas disebabkan sekatan yang menyaksikan majlis perkahwinan di sini tidak dibenarkan.
Dengan hati yang berat, Encik Nadhir terpaksa melepaskan kereta Mercedes Benz W108 kesayangannya itu tahun lalu, yang hanya digunakan sekitar dua tahun.
“Saya perlu membuat keputusan yang terdesak itu kerana perlu menggunakan wang selepas perniagaan saya terjejas.
“Bohong kalau saya katakan saya tidak sedih kerana telah menjalinkan ikatan emosi dengan kedua-dua kereta saya.
“Bagaimanapun, saya tahu sekarang kereta tersebut kini berada di tangan pemilik yang akan menjaganya dengan baik.
“Dan kerana pemilik itu juga merupakan seorang rakan, saya masih dapat melihatnya dari semasa ke semasa apabila kami (pemilik kereta klasik) berkumpul,” ujarnya.
Ditanya jika beliau akan menggantikan kereta tersebut dengan kereta klasik yang lain di masa hadapan, Encik Nadhir berkata ia bergantung kepada keadaan.
“Sekarang saya sudah berumah tangga, jadi keselesaan kenderaan itu juga perlu dipertimbangkan.
“Namun buat masa ini, saya gembira kerana masih dapat memandu kereta pertama saya, VW Beetle dan berharap dapat mengekalkannya buat jangka masa yang lama,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg