Pekerja tidak perlu bimbang akan kehilangan pekerjaan yang diganti kecerdasan buatan (AI), selagi mereka mempunyai kemahiran yang mampu memanfaatkan teknologi tersebut, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah.
Ini kerana pekerja yang bijak memanfaatkan AI dianggap lebih efisien, tambah Cik Indranee dalam dialog anjuran The Business Times (BT), berjudul The Business Times Singapore Budget 2025 Dialogue pada 18 Mac.
“Kami (pemerintah) sentiasa memandang pada masa hadapan bagi mengenal pasti perkara yang paling ketara pada masa ini, dan AI merupakan salah satu perkara itu.
“Kita harus memastikan AI dapat digunakan dengan tepat, dibangunkan, dimanfaatkan dan disebarkan agar semua orang menggunakan AI,” katanya lagi.
Dialog selama sejam itu berlangsung di Sofitel City Centre itu dihadiri lebih daripada 100 tetamu yang terdiri daripada pakar perniagaan dan ekonomi.
Bersama dengan Eksekutif Kumpulan dan Ketua Kumpulan Perbankan Institusi, DBS, Encik Han Kwee Juan, Cik Indranee telah menarik perhatian hadirin kepada kepentingan transformasi serta inovasi perniagaan, melalui integrasi AI dalam proses perniagaan seharian.
Dalam dialog itu, Cik Indranee menggalak orang ramai serta ahli perniagaan agar lebih fasih dalam penggunaan AI yang kian digunakan secara berleluasa pada masa kini.
Sementara itu, Encik Han turut menegaskan bahawa langkah meningkatkan kepada keupayaan AI boleh membawa faedah kepada perniagaan, apabila pekerja dipupuk dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi tersebut.
Memberi contoh operasi DBS, Encik Han berkata:
“Kami telah mendidik sekitar 3,000 pekerja kami untuk menggunakan AI, semasa Covid-19 melanda.
“Kini, 10,000 pekerja kami telah melalui latihan AI dan kami mempunyai 26 kes sebenar (yang berjaya),” tambah beliau.
Melalui integrasi AI yang berkesan, perniagaan akan menjadi lebih produktif – contohnya menerusi penggunaan wadah seperti ChatGPT dan DeepSeek, yang menghasilkan model bahasa dengan cepat.
Menurut Encik Han:
“Anda harus rasa selesa dengan teknologi. Tanpa teknologi, anda tidak akan mencapai produktiviti.”
Selain produktiviti melalui AI, Cik Indranee juga telah menerangkan akan kepentingan perniagaan mengemaskini proses perniagaan mereka, mengikuti keperluan dan kebolehan pekerja yang kian menua.
Sementara itu Cik Indranee menambah terdapat ramai pekerja di Singapura yang ingin bekerja walaupun sudah mencapai usia persaraan.
Ini memberi peluang kepada perniagaan untuk mengubah cara perniagaan mereka agar menjadi lebih sesuai kepada pekerja yang beransur tua.
Beliau menyarankan pengenalan jawatan baru seperti mentor ataupun kounselor, yang lebih sesuai bagi mereka yang lebih tua dan lebih berpengalaman.
“Usah abaikan inovasi dan trend baru yang diperkenalkan pemerintah, dan cuba usahakan bagaimana anda boleh meraih manfaat daripada pemerintah,” nasihat Cik Indranee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg