SEHINGGA lapan tetamu boleh menghadiri majlis pernikahan yang diadakan di rumah, tidak termasuk ahli keluarga rumah itu, kadi dan vendor, di bawa fasa ketiga pembukaan semula Singapura yang bermula Isnin lalu.
Ini berbanding had 10 orang, termasuk ahli keluarga tetapi tidak termasuk kadi dan vendor, sebelum itu.
Pelonggaran sekatan ini, sedang jangkitan Covid-19 di sini kian berkurangan, menceriakan pasangan pengantin Nurulain Ahmad, 26 tahun, dan Faadhil Harisfadzillah, 22 tahun, kerana mereka dapat menjemput datuk dan nenek serta lebih ramai keluarga ke pernikahan mereka di rumah, kelmarin.
Ibu bapa dan adik-beradik Cik Nurulain turut hadir kerana mereka tinggal serumah.
"Saya gembira dapat menjemput nenek dan datuk kerana saya tahu mereka lebih gembira dapat hadir menyaksikan pernikahan saya daripada menyaksikannya dalam talian.
"Warga tua selalunya suka menghadiri majlis sebegini, mereka lebih menghargainya," kata Cik Nurulain, seorang pegawai penerbangan.
"Kami sebenarnya inginkan tarikh pernikahan 2 Januari 2021 kerana angka 2.1.21. Oleh kerana tarikh itu sangat popular, banyak tempat majlis sudah ditempah. Jika ada tempat pun, ia pada waktu tidak sesuai bagi keluarga saya atau lebih mahal.
"Oleh itu, kami membuat keputusan melangsungkannya di rumah sahaja," tambahnya.
Pada awalnya, Cik Nurulain merancang menjemput keluarga dan rakan terdekat dalam kumpulan lima orang pada satu-satu waktu khusus.
Dengan pelonggaran itu, Cik Nurulain dapat menjemput hingga lapan orang bagi setiap daripada lima waktu berlainan yang beliau peruntukkan.
Namun, beliau memastikan peraturan keselamatan Covid-19 yang ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi. Misalnya, sebelum masuk ke dalam rumah, suhu badan tetamu diperiksa dan mereka membersihkan tangan menggunakan sanitiser yang disediakan.
"Saya juga memesan kepada keluarga dan rakan bahawa jika mereka tidak sihat, mereka tidak perlu hadir. Rehat sahaja di rumah," katanya.
Selain itu, beliau hanya menyiapkan makanan set bento bagi tetamu bawa pulang.
"Saya dan suami saya lebih suka majlis perkahwinan kecil sebegini kerana ia lebih mesra, memandangkan kami kenal dan tahu semua yang hadir.
"Dengan jumlah tidak melebihi 40 orang, kami pun tidak penat sangat melayan dan mengambil gambar bersama tetamu," ujar Cik Nurulain.
Beliau juga mengakui dengan majlis kecil itu, mereka dapat berjimat. Menurut Cik Nurulain, kos keseluruhan majlis perkahwinannya lebih kurang $10,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg