Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerpustakaan Ang Mo Kio dibuka semula di AMK Hub
Perpustakaan Ang Mo Kio dibuka semula di AMK Hub
Ruang utama Perpustakaan Ang Mo Kio yang baru dibuka semula di AMK Hub, dilengkapi rak buku dari lantai hingga ke siling, setinggi enam meter, dengan lebih 5,500 buku terpakai dipamerkan di bahagian atas rak.
Ruang yang merangkumi ketinggian dua tingkat itu – yang pertama seumpamanya bagi perpustakaan awam di Singapura – disifatkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) sebagai ‘syurga buku’ buat pengunjung untuk meneroka pelbagai bahan bacaan.
Pengurus perpustakaan, Cik Norlin Naim, berharap reka bentuk itu boleh menarik pengunjung pusat beli-belah, termasuk mereka yang sekadar ingin bergambar.
Perpustakaan itu turut menyediakan paparan interaktif sejarah Ang Mo Kio serta lebih banyak ruang membaca dan belajar.
Ia dipindahkan dari bangunan dua tingkat di Ang Mo Kio Avenue 6 ke bekas ruang pawagam Cathay Cineplexes di tingkat empat AMK Hub.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, merasmikan pembukaan semulanya pada 20 November, dengan sokongan sumbangan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Beliau mengimbau kembali sambutan luar biasa ketika perpustakaan itu mula dibuka pada 1985, apabila pengunjung beratur sehingga sejam untuk masuk.
Menurutnya, perpustakaan baharu itu lebih mesra pengunjung dan mudah didatangi untuk menggalakkan amalan membaca.
Antara daya tarikannya ialah Hab Imersif dengan skrin melengkung 360 darjah, yang pertama dalam rangkaian perpustakaan awam.
Pengunjung boleh menonton sejarah perubahan Ang Mo Kio daripada kampung kepada bandar moden serta gambar arkib yang dihidupkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ruang perpustakaan utama menampilkan mural sepanjang 18 meter yang menggambarkan mercu tanda lama dan masa kini Ang Mo Kio, seperti bekas Pawagam Broadway.
Pengunjung juga boleh mengimbas kod realiti terimbuh (AR) pada mural tersebut menggunakan aplikasi mudah alih NLB untuk mengetahui serta meminjam buku-buku yang disyorkan daripada Koleksi Singapura di perpustakaan itu.
Ketua Eksekutif NLB, Cik Melissa Tam, berkata reka bentuk perpustakaan diilhamkan oleh warisan setempat, termasuk blok kediaman berbentuk bulat seperti Clover Block dan bekas Taman Lalu Lintas di Zon Kanak-Kanak.
Peralatan perpustakaan lama turut dipamerkan.
Perpustakaan baharu itu menyediakan 101 tempat duduk bersoket elektrik, termasuk tujuh ruang belajar kecil yang boleh ditempah, selain Zon Belajar dan Zon Multimedia.
Kemudahan belajar dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 10 malam, termasuk cuti umum.
Mulai 21 November, pengunjung boleh memasuki perpustakaan seawal 9 pagi, sebelum khidmat kendalian kakitangan perpustakaan bermula pada 11 pagi, menggunakan aplikasi NLB atau kad pengenalan.
Pemindahan itu adalah sebahagian pelan induk 15 tahun NLB untuk menaik taraf perpustakaan lama.
AMK Hub bersambung dengan stesen MRT dan pusat tukaran bas bagi memudahkan kunjungan.
Penduduk Ang Mo Kio, Encik Huang Pu Feng, 79 tahun, mengunjungi perpustakaan itu bersama cucunya berusia 10 tahun, yang memilih setimbun komik untuk dibaca sambil sibuk meneroka ruang baharu itu.
Menurut Encik Huang, perpustakaan itu kini kelihatan lebih moden dan berwajah segar berbanding lokasi lamanya.