Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerpustakaan Ang Mo Kio dibuka semula di AMK Hub, rak buku dari lantai hingga siling
Perpustakaan Ang Mo Kio dibuka semula di AMK Hub, rak buku dari lantai hingga siling
Lebih 5,500 buku terpakai yang masih elok telah ditempatkan di rak bahagian atas setinggi enam meter di ruang utama Perpustakaan Ang Mo Kio yang baru dibuka semula di AMK Hub.
Ruang setinggi dua tingkat itu, yang pertama seumpamanya bagi perpustakaan awam Singapura, disifatkan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) sebagai syurga buku buat pengunjung untuk meneroka pelbagai bahan bacaan.
Pengurus perpustakaan, Cik Norlin Naim, berharap reka bentuk itu boleh menarik pengunjung pusat beli-belah, termasuk mereka yang sekadar ingin bergambar.
Perpustakaan itu turut menyediakan paparan interaktif sejarah Ang Mo Kio serta lebih banyak ruang membaca dan belajar.
Ia dipindahkan daripada bangunan dua tingkat di Ang Mo Kio Avenue 6 ke bekas ruang pawagam Cathay Cineplexes di tingkat empat AMK Hub.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, merasmikan pembukaan semulanya pada 20 November, dengan sokongan sumbangan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Beliau mengimbas sambutan luar biasa ketika perpustakaan itu mula dibuka pada 1985, apabila pengunjung beratur sehingga sejam untuk masuk.
Menurutnya, perpustakaan baharu itu lebih mesra pengunjung dan mudah dikunjungi untuk menggalak amalan membaca.
Antara tarikannya ialah Hab Imersif dengan skrin melengkung 360 darjah, yang pertama dalam rangkaian perpustakaan awam.
Pengunjung boleh menonton sejarah perubahan Ang Mo Kio daripada kampung kepada bandar moden serta gambar arkib yang dihidupkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Mural sepanjang 18 meter pula memaparkan mercu tanda Ang Mo Kio seperti Panggung Broadway, dengan kod realiti terimbuh untuk meneroka buku melalui aplikasi NLB.
Ketua Eksekutif (CE) NLB, Cik Melissa Tam, berkata reka bentuk perpustakaan diilhamkan oleh warisan setempat, termasuk blok kediaman berbentuk bulat seperti Clover Block dan bekas Taman Lalu Lintas di Zon Kanak-Kanak.
Peralatan perpustakaan lama turut dipamerkan.
Perpustakaan baharu itu menyediakan 101 tempat duduk bersoket elektrik, termasuk tujuh ruang belajar kecil yang boleh ditempah, selain Zon Belajar dan Zon Multimedia.
Kemudahan belajar dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 10 malam, termasuk cuti umum.
Mulai 21 November, pengunjung boleh memasuki perpustakaan seawal 9 pagi, sebelum khidmat oleh kakitangan perpustakaan bermula pada 11 pagi, menggunakan aplikasi NLB atau kad pengenalan.
Pemindahan itu sebahagian pelan induk NLB selama 15 tahun untuk menaik taraf perpustakaan lama.
AMK Hub bersambung dengan stesen MRT dan pusat pertukaran bas bagi memudahkan kunjungan.
Penduduk Ang Mo Kio, Encik Huang Pu Feng, 79 tahun, mengunjungi perpustakaan itu bersama cucunya berusia 10 tahun, yang memilih setimbun komik untuk dibaca sambil sibuk meneroka ruang baharu itu.
Menurut Encik Huang, perpustakaan itu kini kelihatan lebih moden dan berwajah segar berbanding lokasi lamanya.