SATU anugerah bagi pelajar yang mengikuti pengajian agama serta alumni bagi penerima lalu dermasiswanya telah dilancarkan Persatuan Arab Al Wehdah semalam.
Diumumkan di majlis penyampaian Anugerah Dermasiswa Al Wehdah malam tadi, Anugerah Pengajian Agama itu diberikan untuk menggalakkan pengajian dan pengetahuan agama dalam kalangan belia untuk mengekalkan kepimpinan agama masyarakat Hadrami.
Selain itu, ia juga ingin mengekalkan kedudukan dan peranan ideologi Hadrami (Tareem) di Singapura dan rantau ini.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East, Encik Fahmi Aliman ketika berucap dalam bangunan Persatuan Arab Singapura di Geylang itu, berkata:
"Kami melabur banyak dalam pendidikan anda - sama ada agama atau sekular - dan ini telah terbukti sebagai salah satu pelaburan yang paling menguntungkan kami.
"Dengan pendidikan yang baik, anda akan mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk mendapatkan pekerjaan baik dan menyahut cabaran yang dihadapi oleh Singapura dan dunia.
"Anda akan dapat berdiri di atas kaki anda sendiri di mana sahaja."
Di bawah Anugerah Pengajian Agama itu, terdapat satu anugerah dan satu biasiswa yang akan diberikan.
Anugerah Tareem adalah untuk lulusan madrasah dan ditawarkan kepada semua warga dan penduduk tetap Singapura, asal Arab atau tidak, yang sedang belajar di Rubat Tareem atau Darul Mustafa, Hadramout.
Biasiswa Agama Al Wehdah pula dibuka kepada pelajar asal Arab, warga atau penduduk tetap Singapura, untuk melanjutkan pelajaran agama di institusi pengajian tinggi agama antarabangsa yang diiktiraf seperti di Jordan, Mesir, Arab Saudi dan Malaysia.
Anugerah itu akan diberikan setiap tahun sehingga pelajar menamatkan pengajiannya, tertakluk kepada prestasinya.
Antara lain, Al Wehdah juga memberi dermasiswa bagi Anugerah Pengajian Sekular.
Semalam, Encik Fahmi turut hadir menyampaikan dermasiswa kepada 14 pelajar politeknik dan 10 pelajar universiti. Sejumlah $34,000 diagihkan tahun ini.
Ia bertujuan memberikan bantuan tunai untuk membantu belia Arab Singapura bagi meneruskan pendidikan posmenengah di Singapura.
Terdapat empat dermasiswa di bawah bahagian ini iaitu Dermasiswa Al Wehdah; Anugerah Valedictorian; Biasiswa Perakaunan oleh Helmi Talib & Co dan Hadiah Buku Ameen Talib.
Dermasiswa dan biasiswa yang diberikan bernilai antara $1,000 dengan $2,000 bagi setiap pelajar.
Ditubuhkan sejak 2014, tahun ini merupakan tahun kelapan Al Wehdah menganjurkan majlis anugerah dermasiswa.
Dermasiswa ini bertujuan untuk menyediakan bantuan wang dan menggalakkan belia Arab Singapura untuk meneruskan pendidikan tinggi setempat,.
Sejauh ini, dermasiswa Al Wehdah telah membantu lebih 170 pelajar Arab di politeknik dan universiti, dengan nilai lebih $260,000.
"Kami melabur banyak dalam pendidikan anda - sama ada agama atau sekular - dan ini telah terbukti sebagai salah satu pelaburan yang paling menguntungkan kami. Dengan pendidikan yang baik, anda akan mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk mendapatkan pekerjaan baik dan menyahut cabaran yang dihadapi oleh Singapura dan dunia. Anda akan dapat berdiri di atas kaki anda sendiri di mana sahaja." - Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East, Encik Fahmi Aliman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg