Topik diikuti
Pergi ke BHkuPersekitaran positif di ITE bantu remaja alami autisme lebih yakin kejar cita-cita
Persekitaran positif di ITE bantu remaja alami autisme lebih yakin kejar cita-cita
Sebagai seorang individu dengan Gangguan Spektrum Autisme (ASD), Encik Muhammad Solihin Md Kahar, 19 tahun, pernah mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan orang sekeliling akibat kerap disalah faham.
Menurut beliau, ia menjejas proses pembesarannya kerana beliau terpaksa menahan dirinya daripada berkomunikasi dengan orang lain serta meluahkan cabaran yang dihadapi.
“Sebagai seorang autistik, saya ada kalanya sukar menjawab dengan tepat kerana perlu berfikir mendalam tentang soalan serta menjangka reaksi orang lain,” kata Encik Solihin, seorang ‘YouTuber’ yang mempunyai 2.03 ribu pengikut.
Namun, segalanya berubah apabila pelajar tahun dua kursus Nitec Lanjutan dalam Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) ini menemui persekitaran yang kondusif di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej West.
Beliau mengakui sepanjang tempoh di ITE, beliau dikelilingi sistem sokongan – daripada pensyarah yang membantu pendidikan akademik, kaunselor yang menerima luahan dirinya, hingga rakan sekelas yang sentiasa menyokongnya.
“Setiap kali saya kurang faham, saya akan berjumpa guru untuk meminta bantuan, mereka juga selalu memantau perkembangan akademik saya,” tambah beliau.
Persekitaran yang positif itu mendorong beliau menunjukkan perkembangan positif bukan sahaja daripada sudut peribadi, malah dalam pendidikannya apabila berjaya mencatat Purata Nilai Gred (GPA) 3.03 dan dicalonkan untuk Program Pembangunan Kerjaya (CDP) SG Enable pada 2026.
Ibu beliau, Cik Norashiken Amad, 49 tahun, berkata:
“Solihin kini lebih yakin dan mampu berinteraksi dengan lebih baik bersama rakan sekelasnya.
“Beliau juga mula berkongsi dengan adik-beradik perempuannya tentang rakan baharu serta merancang untuk meluangkan masa bersama mereka.
“Ini adalah suatu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum beliau memulakan perjalanan pendidikannya di ITE.”
Walaupun beliau sering mendapat bantuan daripada orang sekelilingnya, guru dan rakan sekelas turut memberi perhatian kepadanya serta meminta bantuan daripadanya.
Hal ini secara tidak langsung membina keyakinan dirinya bagi membantu orang lain.
Menurut beliau tidak mustahil para individu kurang upaya sepertinya untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan biarpun berdepan dengan ketidakupayaan.
“Anda tidak perlu menjadi hebat untuk bermula, tetapi anda perlu bermula untuk menjadi hebat,” kata Solihin.