Sebagai seorang individu dengan Gangguan Spektrum Autisme (ASD), Encik Muhammad Solihin Md Kahar, 19 tahun, pernah mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan orang sekeliling akibat kerap disalah erti.

Menurut beliau ini menjejaskan proses kebangkitannya kerana beliau menahan dirinya daripada bercakap dengan orang lain, meluahkan cabaran yang dihadapi, serta menjangka reaksi orang sekeliling.

“Sebagai seorang autistik, saya ada kalanya sukar menjawab dengan tepat kerana perlu berfikir mendalam tentang soalan serta menjangka reaksi orang lain.” kata Encik Solihin seorang ‘Youtuber’ yang mempunyai 2.03 ribu pelanggan.

Namun, segalanya berubah apabila pelajar tahun dua kursus Nitec Lanjutan dalam Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) ini menemui persekitaran yang kondusif di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College West.

Encik Muhammad Solihin Md Kahar, menyambung keminatan beliau di sektor AI dan kini di dalam tahun dua kursus nitec tinggi dalam Aplikasi AI di ITE College West
Encik Muhammad Solihin Md Kahar, menyambung keminatan beliau di sektor AI dan kini di dalam tahun dua kursus nitec tinggi dalam Aplikasi AI di ITE College West - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Beliau mengakui bahawa sepanjang tempoh di ITE, beliau dikelilingi sistem sokongan – daripada pensyarah yang membantu akademik, kaunselor yang menerima luahan dirinya, hingga rakan sekelas yang sentiasa menyokongnya.

“Setiap kali saya kurang faham, saya akan berjumpa guru untuk meminta bantuan; mereka juga adakalanya memantau perkembangan akademik saya.” tambah beliau.

Disebabkan itu beliau menunjukkan perkembangan positif bukan sahaja daripada sudut peribadi malah dalam pengajiannya, apabila berjaya mencatatkan Purata Nilai Gred (GPA) 3.03 dan dicalonkan untuk Program Pembangunan Kerjaya (CDP) SG Enable pada 2026.

Ibu beliau, Cik Norashiken Amad, 49 tahun berkata:

“Solihin kini lebih yakin dan mampu berinteraksi dengan lebih baik bersama rakan sekelasnya.

“Beliau juga mula berkongsi dengan adik-beradik perempuannya tentang rakan baharu serta merancang untuk meluangkan masa bersama mereka.

“Ini adalah suatu perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum beliau memulakan perjalanan pendidikannya di ITE.”

Walaupun beliau sering mendapat bantuan daripada orang sekelilingnya, para guru dan rakan sekelas turut memberi perhatian kepadanya serta meminta bantuan daripadanya.

Hal ini secara tidak langsung membina keyakinan dirinya bagi membantu orang lain.

Menurut beliau tidak mustahil bagi para individu kurang upaya sepertinya untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan biarpun berdepan dengan ketidakupayaan, mereka cuma perlu melangkah.

“Anda tidak perlu menjadi hebat untuk bermula, tetapi anda perlu bermula untuk menjadi hebat.” katanya Solihin