Menerapkan unsur pelbagai budaya, persembahan Unity in Diversity bertujuan melambangkan perpaduan dalam kerencaman masyarakat di Singapura.
Persembahan tarian ini diwakili oleh kumpulan tarian daripada kaum etnik yang berbeza, seperti Sri Warisan Som Said Performing Arts bagi kaum Melayu, Dance Ensemble Singapore bagi kaum Cina, dan Jigri Yaar Bhangra Academy bagi kaum India.
Mereka menggambarkan cara-cara unik dan indah kaum mereka menyambut tetamu melalui tarian mereka dalam persembahan di Wisma Geylang Serai pada 20 Julai.
Tetamu terhormat acara itu – yang diadakan sempena Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai – ialah Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
Turut menyaksikan persembahan ini juga adalah tetamu istimewa, Duta Besar Kazakhstan, Encik Askar Kuttykadam, dan Duta Besar Uzbekistan, Encik Alisher Kayumov.
“Hari ini (20 Julai) kami berkumpul untuk meraikan kekayaan dan warna-warni budaya Singapura melalui seni tarian yang menawan,” kata Encik Fahmi.
“Persembahan ini bertujuan untuk mempamerkan integrasi rakyat berbilang etnik Singapura sambil mengekalkan tradisi budaya unik mereka,” tambah beliau.
Penari-penari daripada kumpulan tarian masing-masing mempamerkan bakat mereka sambil menonjolkan kebudayaan mereka yang berbeza.
Bagi penari Sri Warisan Som Said Performing Arts, mereka menampilkan bunga manggar, kompang dan tepak sirih, yang memainkan peranan penting dalam budaya Melayu, dalam persembahan mereka.
Kepala Singa yang digunakan untuk tarian singa dan kipas burung phoenix pula dipamerkan oleh penari yang mewakili kaum Cina dari kumpulan Dance Ensemble Singapore.
Penari Jigri Yaar Bhangra Academy pula menonjolkan kalungan bunga yang merupakan tanda hormat kepada tetamu dalam budaya India.
Selain menggunakan alat peraga yang khusus untuk kaum tersendiri, kipas emas juga digunakan untuk melambangkan kekayaan warisan budaya Singapura.
“Warna emas kipas ini melambangkan kekayaan warisan budaya tiga kumpulan etnik yang berbeza ini,” kata Pengarah Kreatif Sri Warisan Som Said Performing Arts, Cik Marina Yusoff.
“Malah bunyi yang dihasilkan dan gerakan kipas yang pantas ini melambangkan kehidupan rakyat Singapura yang bertenaga dan pantas,” tambah beliau.
Namun, persembahan itu tidak berakhir begitu sahaja.
Pada akhir persembahan tersebut, penonton juga dijemput untuk menari bhangra, di mana tetamu terhormat, Encik Fahmi dan tetamu-tetamu istimewa, Encik Askar dan Encik Alisher turut menari bersama.
Persembahan gabungan tenaga dan kerjasama kumpulan kaum berbeza menonjolkan keharmonian kaum warga Singapura.
Ini disokong oleh Pengarah Jigri Yaar Bhangra, Encik Arwin Padda, yang mengatakan bahawa “ini menonjolkan keunikan budaya berlainan sebagai satu”.
Cik Marina juga mengatakan bahawa melalui usaha sebegini , ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang budaya kaum lain, malah ia membina jati diri tentang budaya sendiri.
“Untuk memastikan tradisi masing-masing tidak menghilang, usaha membuat persembahan dan mendidik pelajar akan membolehkan mereka untuk mempelajari dan lebih mengenali budaya dan tradisi mereka sendiri,” kata penari dan pereka tari kanan Dance Ensemble Singapore, Cik Pang Xin Yi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg