KEMERIAHAN Hari Raya semakin terasa, dengan orang ramai dilihat mula membuat persiapan membeli janur di Pasar Geylang Serai semalam.
Pelanggan datang memilih janur di pasar itu, yang akan digunakan untuk menganyam ketupat - makanan tradisional yang lazim dihidangkan bersama lauk pauk Raya lain untuk dinikmati seisi keluarga dan saudara-mara pada 1 Syawal nanti.
Sambutan Aidilfitri tahun ini dijangka lebih istimewa dan rancak selepas dua tahun perayaan itu diraikan secara sederhana di sini dek pelbagai sekatan pandemik Covid-19.
Ini menyusuli pengumuman pelonggaran sekatan oleh pemerintah Jumaat lalu antaranya tiada had jumlah pengunjung ke rumah mulai esok.
Salah seorang peniaga janur di Pasar Geylang Serai, Encik Misra Lan, 55 tahun, melahirkan harapan positif bagi perniagaannya tahun ini.
Malah, beliau menjangkakan suasana di pasar itu lebih sesak minggu ini, dan telah menempah lebih banyak bekalan janur dari seberang Tambak dan juga Batam, Indonesia.
"Kami jangkakan lebih ramai orang akan datang berbelanja di pasar ini, pagar pun semua dah dibuka.
"Ramai orang akan datang berpusu-pusu ke sini. Insya-Allah, keadaan akan lebih meriah tahun ini," kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg