SEMUA persiapan berkaitan persembahan yang bakal dipentaskan telah pun dilakukan.
Sesi raptai juga telah dijalankan.
Malah poster pun sudah disiapkan.
Hanya yang tinggal ialah mengumumkan sahaja tarikh persembahan kepada orang ramai.
Namun belum sempat pengumuman tentang persembahan itu dibuat, 'pengumuman' lain lebih penting, yang melibatkan kemaslahatan negara, diumumkan.
Pengumuman penting itu merujuk kepada kumpulan seni yang perlu membatalkan segala aspek persembahan sedang negara terus bergelut dengan bilangan mereka yang sah positif Covid-19, meningkat.
Oleh yang demikian, Pengarah Urusan Sri Warisan, Encik Adel Dzulkarnaen Ahmad tidak mempunyai pilihan lain tetapi menangguhkan pementasan tersebut dan menunggu sehingga keadaan kembali pulih.
Inilah antara penyesuaian yang perlu dibuat sekali lagi oleh syarikat kesenian di sini selepas negara kembali ke Fasa Dua yang dipertingkat.
Satu nasihat baru yang dikeluarkan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) menyatakan bahawa kesemua persembahan secara langsung yang dipentaskan sebelum 5 Mei perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.
Selain itu, semua yang beraksi perlu mengenakan pelitup dan aksi menyanyi dan bermain alat muzik tembaga dan angin, juga tidak dibenarkan.
Persembahan secara langsung kini boleh mempunyai penonton sehingga 100 orang dengan ujian praacara dijalankan atau sehingga 50 tanpa ujian praacara.
Langkah sebelum ini membenarkan penonton sehingga 250 orang dengan ujian pra acara dan sehingga 100 bagi yang tiada ujian.
"Memang sedih sikit tetapi kami sudah anggarkan ini boleh berlaku melihat keadaan yang tidak menentu sekarang, dengan adanya sidang media setiap beberapa hari," katanya.
Encik Adel, 45 tahun, juga berkata bahawa syarikatnya turut terjejas kerana kebanyakan program yang mereka laksanakan di sekolah-sekolah, terpaksa ditangguhkan atau ada sekolah yang menarik diri.
"Sebenarnya bulan lalu keadaan sudah seakan kembali pulih, dengan kami menerima lapan tempahan dari sekolah-sekolah.
"Bulan ini juga ada 12 tempahan daripada sekolah untuk program pengayaan tetapi dengan pengumuman terkini, ada yang tarik diri.
"Sejujurnya kami agak terjejas secara kewangan kerana kami mempunyai sekitar 15 pekerja sepenuh masa dan 15 lagi pekerja sambilan," katanya.
Bagaimanapun berbanding dengan tahun lalu di mana semuanya berlaku dengan cepat, tahun ini pihaknya lebih bersedia untuk berdepan dengan sebarang ketidaktentuan.
"Kita kini lebih bersedia secara mental. Sekitar 15 daripada program pengayaan kami telah pun kami rakamkan. Guru boleh membeli program ini untuk ditunjukkan kepada pelajar," tambahnya.
Beliau berkata ada juga ingin melakukan program secara langsung dan ini telah mereka lakukan di studio Sri Warisan.
Tetapi menurut Encik Adel apa yang paling dirindui ialah membuat persembahan di luar negara.
"Ada rakan kami dari Bulgaria mengundang kami ke sana kerana katanya kes Covid-19 di negara itu tidak begitu tinggi, tetapi dari segi kos saya rasa agak berat untuk kami," katanya.
Sementara itu, syarikat pementasan Ekamatra turut melahirkan rasa kecewanya selepas pementasan mereka 'Pulang Balik' yang sepatutnya dipentaskan semasa Pesta Raya di Teater Esplanade terpaksa ditunda.
Ini sebenarnya merupakan pementasan secara langsung bagi kumpulan teater itu setahun selepas pemutus litar tahun lalu.
Pengarah urusan Teater Ekamatra, Cik Nurul Shaza Ishak, 31 tahun, berkata pihaknya memutuskan untuk menundakan pementasan itu kerana bilangan mereka yang perlu bekerja di balik tabir agak ramai.
"Memang agak sedih juga kerana tahun lalu dua pementasan - Berak dan... kami terpaksa dibatalkan.
"Dan pementasan Pesta Raya ini sepatutnya "come back" bagi kami."
Walaupun demikian, beliau akur langkah yang diambil adalah perlu demi kebaikan semua sedang wabak terus menular dalam masyarakat.
Menurutnya, sebagai pengamal seni, penundaan dan pementasan yang tergendala akibat Covid-19, sudah menjadi satu lumrah.
"Ini yang kami sedari. Justeru bagi setiap pementasan yang ingin kita lakukan sekarang, kami akan pastikan adanya pelan B.
"Apakah langkah yang patut diambil sekiranya 'show' terpaksa dibatalkan? Bagaimana untuk melancarkan proses mengembalikan wang bagi tiket pementasan? Ini merupakan antara perkara yang perlu diambil kira," tambahnya.
Beliau turut menambah, sekiranya dahulu pihaknya tidak begitu menitikberatkan tentang soal merakamkan dan mengarkibkan setiap pementasan, kini bajet diketepikan khusus bagi tujuan ini.
"Dulu kami tidak begitu mengendahkan soal arkib. Tetapi melihat keadaan sekarang, kami dapati dengan mengarkibkan pementasan dengan sebaik mungkin, ia dapat disimpan secara digital dan kemudian dapat dikongsi dengan lebih ramai penonton secara dalam talian," ujarnya.
Salah satu daripada siri web mereka yang direka khas untuk kanak-kanak dan keluarga - Mat Champion - akan ditayangkan secara percuma pada 31 Mei ini.
Ia juga disokong Geran Persembahan Digital NAC dan Dana Program Melaya Lembaga Warisan Negara.
Menyentuh tentang geran dan tajaan, Cik Shaza berkata kini pihaknya juga akan meninjau kemungkinan syarikat korporat yang ingin menderma kepada usaha kesenian yang mereka laksanakan.
Selain itu, beberapa festival yang sepatutnya dijalankan hujung minggu lalu juga terpaksa dibatalkan.
Festival Seni Antarabangsa Singapura (Sifa) yang sepatutnya dibuka Jumaat lalu dan berlangsung sehingga 30 Mei, telah membatalkan lima pementasan secara langsung.
Festival 'Flipside Esplanade' yang dijadual berlangsung dari 26 Mei hingga 6 Jun juga akan membatalkan beberapa pementasan dan beralih ke ruang digital.
Ini merupakan kali kedua kedua-dua festival terpaksa dibatalkan kerana Covid-19.
Ketua eksekutif Esplanade, Yvonne Tham, 46 tahun berkata kepada akhbar The Straits Times: "Ia amat mengecewakan."
Sekatan yang diperketat itu juga bagi panggung wayang.
Seorang jurucakap rangkaian panggung wayang, Golden Village berkata kebanyakan dewannya mempunyai 50 atau kurang daripada segi kehadiran, tetapi makan dan minum tidak dibenarkan di premis itu sehingga 13 Jun.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong akur akan tekanan yang dihadapi sektor itu di satu pos Facebook baru -baru ini dan menjanjikan sokongan dan kewangan, antara lain.
"Ini merupakan masa untuk menjaga bukan sahaja kehidupan malah mata pencarian," katanya.
Akan terdapat geran dan subsidi menyewa tempat bagi syarikat seni serta bantuan bagi mereka yang bekerja sendiri dalam sektor kesenian, katanya.
Beliau menambah: "Kami akan memberikan subsidi bagi kos ujian praacara untuk persembahan secara langsung yang terjejas ekoran peraturan terkini.
"Ini akan membantu penonton dengan bilangan lebih ramai menghadiri persembahan dengan selamat selain meredakan kesan kewangan syarikat seni."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg