SEWAKTU di bangku sekolah menengah, perhatiannya sering tertumpu kepada permainan komputer dan media sosial sehinggakan beliau kesuntukan masa bagi pelajarannya.
Disebabkan itu, Encik Shuqri Shaifuddin tidak dapat melakukan yang terbaik buat peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) 'N' beliau dan gagal masuk ke politeknik seperti yang diidamkan.
Menyifatkan detik itu sebagai suatu yang membawa kesedaran kepada dirinya, pemuda itu kemudian bertekad mengubah sikapnya dan fokus dalam pelajaran apabila lanjutkan pendidikan ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat.
Berkat ketekunannya, pelajar berusia 19 tahun itu berjaya menamatkan pengajiannya di ITE dengan Gred Purata Mata (GPA) sempurna 4.0.
Malah, di Majlis Tamat Pengajian ITE semalam, beliau merupakan antara lulusan terbaik yang diiktiraf sebagai Pemenang Pingat Emas Tay Eng Soon yang khas buat lulusan ITE cemerlang yang mencapai prestasi kursus cemerlang, melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum (CCA) dan menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan kolejnya.
Meluahkan kesyukurannya, Encik Shuqri berkata anugerah ini cerminan bagi usaha beliau selama ini yang ternyata membuahkan hasil.
"Ini semua berkat bantuan orang di sekeliling saya - rakan dan keluarga. Penting untuk mempunyai lingkungan sosial baik supaya kita tahu bila untuk fokus dalam pelajaran, bila untuk fokus dengan komitmen CCA. Rakan-rakan sentiasa ada untuk mendorong saya. Keluarga saya juga tidak pernah memberi saya tekanan, dari mula saya masuk ITE. Justeru sekitaran saya amat positif dan sokongan saya kukuh," ujar lulusan Higher Nitec dalam Rangkaian & Sistem IT itu.
Selain aktif dalam kegiatan CCA dan memikul tanggungjawab kepimpinan sebagai Presiden Kelab Duta Hijau, Encik Shuqri turut meluangkan masa untuk berbakti kepada masyarakat seperti menjadi relawan di Klinik Digital Pameran (Roadshow) Generasi Merdeka.
Ketika ditanya bagaimana beliau mengimbangi komitmen beliau, Encik Shuqri berkata beliau sentiasa merancang waktunya dan memiliki kalender peribadi.
Dari situ, beliau memastikan dapat membahagi masa untuk penglibatan sekolah dan masyarakat tanpa mengabaikan pelajarannya.
"Saya juga suka ke sekolah dan bersyukur dapat melakukan yang terbaik dalam proses itu. Apabila kita suka apa yang kita lakukan dan tidak meletakkan tekanan ke atas diri kita, kita boleh berjaya dan menghargai kehidupan kita," tambah anak kedua dalam tiga adik-beradik itu.
Encik Shuqri, yang kini menuntut dalam jurusan yang diminatinya iaitu Diploma dalam Teknologi Maklumat (IT) di Politeknik Ngee Ann bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang IT juga.
Baginya, teknologi maklumat suatu yang akan semakin meluas pada masa akan datang dan kemahiran dalam bidang itu diperlukan.
Ketika ditanya tentang kerjaya yang diidamkan, beliau berkata beliau mahu ceburi sesuatu yang memanfaatkan kecerdasan buatan dan jika diberi peluang, kembali ke ITE untuk berkhidmat sebagai pensyarah.
"Saya sebenarnya mahu mengajar sejak berada di sekolah menengah lagi.
"Jika saya dapat menjadi pensyarah di ITE, saya bukan sahaja dapat berinteraksi dengan pelajar, malah boleh sumbang ilmu saya.
"Bagi saya, mengajar pelajar boleh menjadi sesuatu yang seronok dan pada masa yang sama, saya dapat mengajar mereka perkara berguna dalam bidang yang saya minati," ujarnya penuh harapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg