MENYUSULI kejayaan Piala S Chandradas, satu pertandingan futsal bagi kanak-kanak antara 10 dengan 12 tahun, tahun lalu, acara itu diadakan lagi semalam (1 Julai).
Piala S Chandradas itu disokong Narpani Pearavai Persatuan Rakyat (PA) tahun ini.
Diadakan di FutsalArena@Yishun, sebanyak 20 pasukan telah mendaftar baginya.
Selepas beberapa pusingan perlawanan antara pasukan daripada pelbagai latar belakang itu, akhirnya pasukan Buona Vista 'A' Team muncul juara dan memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai sehingga $1,200.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Sri Lanka, Encik S Chandradas, menghadiri acara itu selaku tetamu terhormat.
Acara itu turut disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Press Holdings, Encik Anthony Tan; Editor Tamil Murasu, Encik Jawharilal Rajendran dan Pengerusi Narpani Pearavai, Encik K Ramamoorthy.
Bagi mengiktiraf bakat muda yang menunjukkan persembahan baik dalam pertandingan itu, pingat bagi individu yang berjaya menjaringkan gol paling banyak dianugerahkan kepada Raden Tan, 12 tahun. Dia berjaya menjaringkan 15 gol bagi pasukan Rovers dalam pertandingan tersebut.
Sementara itu, Kotaro Otsuki, 10 tahun, daripada pasukan Radin Mas Footy Kidz pula dianugerahkan pingat pemain paling berharga selepas tampil sebagai pemain terbaik dalam empat perlawanan.
Pasukan selebriti daripada saluran Vasantham dan Suria turut serta menyerikan lagi pertandingan itu dan menentang satu sama lain di gelanggang futsal.
Pasukan Vasantham menewaskan Suria 4-3.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg