Selepas kembali giat mengendalikan ibadah korban secara langsung di sini pada 2024, Pertapis meneruskan amalan ibadah itu menerusi ‘Pertapis Live Korban 2025’ yang berlangsung di Rumah Peralihan Pertapis di Lorong 34 Geylang pada 7 Jun.

Sebelum 2024, Pertapis hanya melakukan korban di Australia selama hampir 13 tahun, dengan dagingnya kemudian dibawa masuk ke Singapura untuk diagihkan kepada penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, berkata:

“Melaksanakan korban secara langsung amat penting kerana ia dapat menghubungkan masyarakat dengan inti pati rohani dan fizikal ibadah ini.

“Apabila ibadah korban dilakukan secara langsung di sini, ia memberi peluang kepada masyarakat untuk bergotong-royong dan meneruskan sunah Nabi Muhammad saw.”

Untuk menyempurnakan ibadah korban itu, Pertapis telah membawa masuk kambing biri-biri jenis Merino dari Australia.

Lebih 120 ekor kambing biri-biri itu diterbangkan terus ke Singapura.

Beliau menambah bahawa acara ini juga menjadi wadah untuk mendidik generasi muda tentang nilai pengorbanan, kesyukuran dan kasih sayang.

“Ia membantu masyarakat kita memahami makna dan nilai di sebalik ibadah korban,” ujar Encik Firdaus.

Daging korban itu diagihkan kepada 500 keluarga berpendapatan rendah yang mengikuti program Pertapis, termasuk keluarga yang menerima bantuan melalui program sokongan pertubuhan itu.

“Bagi penghuni rumah kebajikan kami yang sedang membina semula kehidupan mereka, penglibatan mereka dalam acara ini boleh menjadi proses yang memulihkan dan memberi mereka kekuatan.

“Ia mengingatkan mereka bahawa mereka tidak keseorangan, malah disokong oleh masyarakat yang penuh belas kasihan.

“Inisiatif ini bukan sekadar pengagihan daging malah ia juga bertujuan membina rasa belas kasihan, memperkukuh jalinan ukhuwah dan memastikan keluarga yang memerlukan merasakan sokongan daripada masyarakat,” ujar Encik Firdaus.

Lebih 20 penghuni terlibat sebagai relawan dalam acara korban itu.

Tambahnya, mereka turut disertai relawan dari Masjid Haji Yusof serta rakan pertubuhan Melayu/Islam lain seperti Darul Arqam Singapura.

Pertapis juga mahu menggalakkan lebih ramai belia untuk melibatkan diri sebagai relawan serta mempelajari kemahiran melaksanakan ibadah korban.

“Akhirnya, kami berharap pengalaman ini dapat mengukuhkan konsep rahmah dalam masyarakat,” ujar Encik Firdaus.