MULAI Selasa, geran perumahan tidak lagi diagihkan hanya kepada pemohon flat yang merupakan warga Singapura, sebaliknya dikongsi di kalangan pemohon dan penghuni isi rumah, tidak kira sama ada mereka warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR).
Mereka yang ingin membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kini juga akan melalui penilaian pendapatan dalam tempoh 12 bulan, berbanding tiga atau enam bulan, lapor akhbar The Straits Times.
Perubahan terkini telah diumumkan dalam satu kenyataan oleh HDB pada Isnin malam. Ia mengulangi langkah untuk menjalani proses yang lebih kemas bermula Selasa, apabila Surat Kelayakan Pinjaman HDB (HLE) digantikan dengan surat Kelayakan Flat HDB (HFE).
Pertama kali diumumkan pada 28 April, HDB berkata surat HFE akan memberi pembeli gambaran lebih jelas tentang kos pembelian dan pilihan pembiayaan mereka.
Menerusi surat baru itu, HDB akan mendapatkan maklumat peribadi pembeli flat daripada khidmat data MyInfo untuk menilai penilaian kelayakan individu. Ini memberi lebih kemudahan kepada pemohon dan pada masa yang sama mengurangkan keperluan menghantar beberapa dokumen.
"Bagi memudahkan urusan pendaftaran, HDB akan menyelaraskan garis panduan penilaian pendapatan, termasuk tempoh penilaian pendapatan.
"HDB juga akan melaraskan cara ia menilai kelayakan keluarga untuk menerima subsidi perumahan bagi mencapai konsistensi yang lebih tinggi," menurut HDB dalam kenyataannya.
Sistem baru mengagihkan geran perumahan adalah "pendekatan yang lebih adil", kata HDB, sambil menambah bahawa penghuni teras yang merupakan rakyat atau PR akan dianggap sebagai pembeli kali kedua selepas menikmati geran perumahan.
Ini sama seperti pemohon teras warga Singapura, yang dilihat sedemikian dalam sistem semasa.
Jumlah geran keseluruhan, bagaimanapun, tidak akan berubah bagi kebanyakan keluarga, kerana kelayakan akan terus dinilai mengikut pendapatan setiap isi rumah.
Di bawah sistem baru itu, hanya pemohon boleh menggunakan bahagian geran perumahan mereka untuk membayar pembelian flat.
Penghuni utama yang menerima sebahagian daripada geran-geran itu boleh menggunakannya apabila status sebagai pemilik, atau apabila memohon untuk membeli flat sendiri pada masa akan datang. Penghuni ialah anggota keluarga, seperti pasangan suami isteri, anak, ibu bapa atau adik-beradik, yang membentuk nukleus keluarga dengan pemohon layak mendapatkan flat daripada HDB.
Sementara itu, penilaian pendapatan yang disemak semula akan membolehkan penilaian yang lebih konsisten dalam kalangan pemohon, kata HDB, sambil menyatakan bahawa terdapat pekerjaan berbeza dalam pelbagai aspek, termasuk struktur pendapatan.
Dengan menyeragamkan tempoh penilaian pendapatan kepada 12 bulan, di mana pendapatan bulanan tersedia, ia akan menyediakan "penilaian lebih jelas" tahap pendapatan pemohon, terutama bagi mereka yang pendapatannya turun naik dari bulan ke bulan.
Komponen pendapatan yang akan dipertimbangkan termasuk semua komponen daripada pekerjaan atau perdagangan, tetapi tidak termasuk bonus.
Sementara itu, tempoh penilaian tidak akan mengambil kira pendapatan dua bulan sebelum seseorang individu memohon surat HFE.
Mereka yang telah berbuat demikian harus mempunyai pekerjaan apabila menghantar permohonan mereka.
Garis panduan baru ini juga akan digunakan kepada skim lain di mana relevan, kata HDB, sambil memberi contoh seperti pembelian unit kondominium eksekutif daripada pemaju hartanah, Skim Beli Balik Pajakan dan Bonus Perumahan Perak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg