INFLASI yang melanda pada masa ini membuat kos jagaan kesihatan melonjak di Singapura, didorong jumlah tuntutan insurans yang lebih tinggi.

    Ini menyebabkan premium bagi dasar insurans kesihatan privet meningkat - satu trend yang dijangka berterusan.

    Data daripada laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) menunjukkan inflasi jagaan kesihatan mula kelihatan meningkat dalam tujuh bulan pertama tahun ini, dengan kosnya naik sehingga 1.7 peratus.

    Ini berbanding dengan 1.1 peratus kenaikan sepanjang tahun lalu.

    Peningkatan inflasi dalam penjagaan kesihatan disebabkan kos insurans kesihatan lebih tinggi yang naik 2.5 peratus, dan perkhidmatan hospital yang meningkat 2 peratus.

    Salah satu sebab ialah kenaikan tuntutan insurans yang dibuat oleh para pesakit.

    Skim insurans kesihatan nasional, MediShield Hayat, yang menawarkan perlindungan bagi wad-wad kelas B2 dan C di hospital awam, telah menyaksikan peningkatan dalam tuntutan sepanjang empat tahun antara 2016 dengan 2019.

    Jumlah tuntutan meningkat hampir 30 peratus sepanjang tempoh itu, sedang jumlah bayaran meningkat hampir 40 peratus.

    Dalam kenyataannya, Persatuan Insurans Hayat (LIA) menyatakan bahawa kesemua tujuh syarikat insurans yang menawarkan Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu Standard (IP) akan juga menyediakan sokongan peralihan kepada pemegang polisi IP dengan pelaksanaan Senarai Ubat Barah (CDL) oleh Kementerian Kesihatan (MOH) bagi meningkatkan kemampuan untuk membayar kos rawatan.

    Ini termasuk mengekalkan kadar premium yang stabil bagi IP mulai 2 September 2022 hingga 31 Ogos 2024.

    Ia hanya tertakluk kepada IP sahaja tetapi bukan bagi pakej pilihan tambahan IP.

    "Apabila kami melihat ke hadapan, kami sedar kos tuntutan IP dijangka meningkat disebabkan inflasi perubatan.

    "Ini menyebabkan keperluan meningkatkan premium di masa hadapan agar firma insurans boleh terus menawarkan IP,'' kata presiden LIA, Encik Khor Hock Seng.

    Pakar geriatrik dan pengarah perubatan di Pusat Perubatan The Good Life, Dr Carol Tan, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa sedang penduduk Singapura menua, penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, angin ahmar dan kerapuhan tulang meningkat dan mendorong perbelanjaan penjagaan kesihatan.

    Dr Tan menambah bahawa ketidakupayaan semasa usia tua turut menaikkan kos penjagaan kesihatan.

    Sementara itu, khidmat pesakit luar dan kos ubat yang meningkat juga menambah kepada bil-bil penjagaan kesihatan.

    Menurut laporan CPI, kos khidmat pesakit luar meningkat 1.8 peratus, sedang kos ubat pula naik 0.6 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

    Bagi membiayai jumlah tuntutan serta kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, premium insurans kesihatan - kededua privet dan awam - juga telah meningkat.

    Premium bagi MediShield Hayat mula meningkat tahun lalu - kenaikan pertama sejak skimnya dilancarkan pada November 2015.

    Selepas mengambil kira subsidi, premium bersih bagi semua warga Singapura adalah sekitar 10 peratus tahun lalu.

    Mereka yang berusia 61 tahun ke atas menyaksikan kenaikan tertinggi dalam premium sekitar 35 peratus sebelum subsidi.

    Bagi syarikat privet yang menyediakan Pelan IP, perubahan dasar sepanjang beberapa tahun lalu telah meningkatkan tuntutan mereka, lantas meningkatkan pula premium.

    Sebagai sebahagian daripada semakan MediShield Hayat pada 2020, tuntutan hospital privet dihadkan kepada 25 peratus, turun daripada 35 peratus bermula Mac tahun lalu.

    Ini bermakna pesakit yang dirawat di hospital privet boleh membuat tuntutan hanya 25 peratus daripada bil hospital privet mereka daripada MediSHield Hayat.

    Maka syarikat yang menawarkan IP perlu menanggung sebahagian besar tuntutan sedemikian.

    Bagi mengatasi kos penjagaan kesihatan yang meningkat, sesetengah syarikat insurans telah memperkenalkan harga berdasarkan tuntutan di mana pemegang polisi yang tidak membuat tuntutan dalam setahun menikmati diskaun bagi premium mereka.

    Sementara mereka yang membuat tuntutan perlu membayar premium yang lebih dalam tahun berikutnya.

    Dalam satu langkah berasingan, sedang kos rawatan barah meningkat pada kadar yang lebih pantas berbanding jagaan perubatan lain, MediShield Hayat hanya melindungi rawatan yang terbukti berkesan serta efektif dari segi kos mengikut Senarai Ubat Barah, mulai bulan ini.

    Syarikat IP pula dijangka mengehadkan perlindungan bagi ubat barah yang diluluskan mulai April tahun depan.

    "Apabila kami melihat ke hadapan, kami sedar kos tuntutan IP dijangka meningkat disebabkan inflasi perubatan. Ini menyebabkan keperluan meningkatkan premium di masa hadapan agar firma insurans boleh terus menawarkan IP.'' - Presiden Persatuan Insurans Hayat (LIA), Encik Khor Hock Seng.

    PERUBAHAN PERLINDUNGAN PENYAKIT BARAH BAGI MEDISHIELD HAYAT

    Mulai bulan ini, perubahan kepada perlindungan bagi penyakit barah di bawah MediShield Hayat akan bermula.

    Apakah perubahan itu?

    1. Penggunaan MediSave dan perlindungan MediShield akan dihadkan kepada ubat dan rawatan dalam Senarai Ubat Barah.
    2. Senarai ini hasil maklum balas daripada para doktor barah dalam sektor awam dan privet. Rawatan yang terbukti berkesan serta efektif dari segi kos. Yang tiada dalam senarai tidak akan dilindungi.
    3. Daripada kadar rata sebanyak $3,000 sebulan, perlindungan kini meliputi hanya ubat paling mahal apabila lebih banyak jenis ubat diberi.
    4. Sekiranya ia merupakan gabungan terapi yang tersenarai, kesemua ubat dalam gabungan terapi itu akan dilindungi mengikut jumlah kadar bermula $200 hingga $9,600 sebulan.
    5. Kementerian Kesihatan (MOH) berkata dengan perubahan tersebut, hampir 90 peratus pesakit warga Singapura yang menerima subsidi dan menggunakan rawatan dalam Senarai Ubat Barah berpeluang mendapat bil ubat barah yang dilindungi sepenuhnya oleh subsidi dan MediShield Hayat, tertakluk kepada bayaran bersama yang boleh dilunas dengan menggunakan MediSave.