Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) susut bagi suku ketiga berturut-turut, di sebalik penarikan balik langkah penyejukan ke atas pemilik hartanah swasta yang turun taraf dengan membeli flat berkenaan.

Anggaran awal yang diterbitkan pada 1 Oktober menunjukkan harga jualan semula HDB susut sebanyak 0.2 peratus.

Harga turun 0.1 peratus pada suku pertama – kali pertama dalam masa hampir tujuh tahun – diikuti dengan 0.3 peratus pada suku kedua.

Terdapat 7,528 urus niaga pada suku ketiga 2026, meningkat 5.2 peratus daripada 7,157 unit dalam tempoh yang sama pada 2025.

HDB berkata ia tidak melihat peningkatan ketara dari segi harga dan bilangan flat jualan semula yang dibeli oleh golongan pemilik hartanah swasta berikutan penarikan balik tempoh menunggu 15 bulan pada 28 Julai.

Diperkenalkan pada September 2022, tempoh menunggu 15 bulan itu bertujuan mengekang permintaan daripada pemilik rumah swasta yang ingin membeli flat jualan semula.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata peraturan dilonggarkan kerana keadaan pasaran telah bertambah baik dan harga jualan semula HDB telah kembali kepada keadaan sederhana dengan ketara.

Harga dalam pasaran rumah swasta meningkat 1.4 peratus pada suku ketiga, naik daripada 0.5 peratus pada suku sebelumnya.

Tetapi jumlah urus niaga merosot sekitar 30 peratus berbanding suku sebelumnya, jatuh kepada 4,296 unit daripada 6,148 unit, lapor The Straits Times (ST).

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), dalam satu kenyataan berkata harga hartanah meningkat secara purata 0.9 peratus setiap suku tahun bagi tiga suku pertama 2026, tidak berubah daripada purata peningkatan suku tahunan dalam tempoh yang sama pada 2025.

Penganalisis hartanah berkata peningkatan dalam urus niaga HDB seiring dengan penarikan balik tempoh menunggu 15 bulan.

Pegawai Eksekutif ERA Singapore, Encik Eugene Lim, berkata walaupun permintaan lebih kukuh, harga jualan semula merosot disebabkan faktor seperti 13,480 flat yang akan mencapai Tempoh Penginapan Minimum pada 2026.

Ini bermakna lebih banyak flat boleh memasuki pasaran, lantas membantu memenuhi permintaan.

Bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang berterusan dan kriteria kelayakan lebih luas bagi pembeli kali pertama juga mempunyai kesan terhadap harga, tambahnya.

Pada Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata siling pendapatan BTO akan dinaikkan daripada $14,000 kepada $16,000 bagi keluarga, dan daripada $7,000 kepada $8,000 bagi golongan bujang bagi membolehkan lebih ramai rakyat Singapura mendapat akses kepada perumahan awam bersubsidi.

Walaupun harga jualan semula merosot, jumlah urus niaga flat bernilai jutaan dolar meningkat kepada 597 pada suku ketiga 2026 – naik daripada 491 pada suku sebelumnya.

Secara keseluruhan, 1,499 flat telah dijual dalam sembilan bulan pertama 2026.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti