Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesakit di wad SGH dipindahkan selepas robot pembersihan terbakar

Jul 9, 2024 | 6:36 PM
Satu kebakaran berlaku di sebuah wad di Hospital Besar Singapura (SGH) tetapi berjaya dipadamkan selepas sistem perenjis air di wad tersebut diaktifkan.
Satu kebakaran berlaku di sebuah wad di Hospital Besar Singapura (SGH) tetapi berjaya dipadamkan selepas sistem perenjis air di wad tersebut diaktifkan. - Foto ST

Sejumlah pesakit di sebuah wad di Hospital Besar Singapura (SGH) terpaksa dipindahkan selepas satu robot pembersihan terbakar ketika ia sedang dicas pada 8 Julai.

Menurut SGH dalam satu hantaran di Facebook, penggera kebakaran di Wad 76 telah diaktifkan sekitar 7 malam, menyusuli kejadian itu.

Kebakaran tersebut turut mengaktifkan perenjis air di wad berkenaan dan pasukan tindak balas SGH dikerahkan, kata pihak hospital.

Kebakaran tersebut, yang berlaku di tingkat enam SGH, dipadamkan selepas sistem perenjis air di wad tersebut diaktifkan, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Apabila warden kebakaran hospital itu tiba di tempat kejadian, api sudah dipadamkan, tambah SGH.

“Sebagai langkah berjaga-jaga dan disebabkan asap (daripada kebakaran itu), para pesakit di Wad 76 dipindahkan ke wad lain buat sementara waktu,” kata pihak hospital.

Tiada pesakit, pelawat atau kakitangan hospital mengalami kecederaan.

Sekitar 9 malam, kebanyakan pesakit sudah pun pulang ke wad tersebut, lapor The Straits Times.

“Penjagaan pesakit kekal tidak terganggu, dengan pelan luar jangka dilaksanakan untuk memenuhi apa sahaja gangguan bersifat sementara.

“Kami memohon maaf atas sebarang kebimbangan atau kesulitan yang dihadapi (disebabkan kejadian ini),” tambahnya.

Punca kebakaran masih disiasat.

Pada 2023, SCDF memberi respons terhadap 597 kes kebakaran yang berpunca daripada kebakaran elektrik, 30.6 peratus daripada jumlah 1,954 kes kebakaran yang dikendalikannya.

Kebakaran sebegitu merupakan punca utama kebakaran yang dikendali SCDF pada 2023, diikuti dengan 456 kes memasak tanpa pengawasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg