Rasa bersalah, menyesal serta mendambakan satu harapan dapat memutar semula waktu.
Itulah perasaan dan harapan yang sentiasa bermain dalam fikiran Cik Siti Azizah Mastama, 65 tahun, setelah beliau didiagnosis dengan penyakit ginjal tahap akhir akibat kencing manis Jenis 2 pada 2020.
Berita itu merupakan satu kenyataan pahit yang mengubah hidup beliau daripada seorang warga emas yang aktif kepada seorang yang terpaksa mengharapkan bantuan orang lain.
Ini kerana Cik Siti, yang merupakan ibu tiga anak dan nenek tiga cucu, memerlukan bantuan penjaga untuk menjalani rawatan dan meneruskan kehidupan.
Menceritakan perubahan hidupnya sejak didiagnosis dengan penyakit itu, beliau berkata:
“Saya tak tahu apa yang saya buat salah dalam hidup ini sampai saya terpaksa mengalami semua ini. Dahulu, saya seorang yang sangat aktif. Hidup saya penuh ceria dan warna.
“Saya gemar berlari-lari anak, mendaki dan melakukan aktiviti di luar hampir setiap hujung minggu.”
Menurut Cik Siti, yang suaminya meninggal dunia pada 2001, beliau juga gemar memasak dan hidangan kegemarannya ialah nasi padang bersama satu tin minuman Coca Cola yang sejuk dengan ais setiap kali beliau menjamu selera.
Tanpa disedari, itulah antara punca Cik Siti menghidap kencing manis.
“Akibatnya (makan tanpa berpantang ini), saya sering berasa letih. Saya cuba tidur dan bersenam secara lebih kerap tetapi masih berasa kurang bertenaga.
“Saya tahu ada yang tak kena dengan diri saya, namun saya elak daripada berjumpa doktor.
“Saya takut menghadapi kenyataan bahawa saya sakit,” cerita Cik Siti, mengenai kesilapan yang dilakukannya untuk mendapatkan rawatan awal.
Berdasarkan Laporan Pendaftaran Ginjal 2022, dua daripada tiga pesakit yang mengalami kegagalan ginjal di Singapura berpunca daripada kencing manis.
Menurut Yayasan Dialisis Buah Pinggang (KDF), mutu hidup seseorang terjejas apabila menghidap penyakit ginjal tahap akhir.
Dari segi kewangan, pesakit perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu dan ini boleh menelan belanja purata sekitar $2,000 sebulan – satu beban yang berat terutama bagi golongan yang kurang mampu.
“Pesakit dengan masalah ginjal yang tidak menerima rawatan dialisis hanya mempunyai beberapa hari atau minggu sahaja untuk hidup,” menurut KDF.
Bagi Cik Siti, perjuangan meneruskan kehidupan mengandungi seribu satu emosi yang bercampur baur.
Selama berbulan-bulan, beliau menyalahkan dirinya atas keadaan yang dihadapinya.
“Saya rasa bersalah. Saya benci diri saya,” kata beliau penuh penyesalan.
Namun, Cik Siti menemui semula harapan apabila dirujukkan ke pusat KDF oleh Hospital Besar Changi (CGH).
Memandangkan beliau tinggal di kawasan Ang Mo Kio, beliau diberi pilihan mendapatkan rawatan di cawangan KDF berhampiran rumahnya.
KDF, yang ditubuhkan pada 1996, menyediakan rawatan dialisis bersubsidi, penjagaan pesakit dan penyelidikan berkaitan penyakit ginjal.
Menurut KDF, ia menyasarkan pesakit dalam golongan 10 peratus berpendapatan terendah di Singapura.
Selain menjalani dialisis tiga kali seminggu, dari 5 petang hingga 10 malam, Cik Siti turut berpeluang menjalin “persahabatan berharga” dengan sukarelawan dan pesakit lain untuk membantu beliau melalui hidupnya dengan lebih positif.
Menurut Cik Siti, KDF juga membawa pesakit seperti beliau bersiar-siar dan beriadah.
Anak bongsu Cik Siti, Cik Siti Karimah Jumat, 36 tahun, yang sebelum ini bertugas dengan sebuah syarikat antarabangsa kini penjaga utama ibunya.
Mengulas peranan barunya itu, beliau tidak merasakannya sebagai beban, sebaliknya sebagai satu tanggungjawab anak kepada ibunya.
“Cinta seorang anak kepada ibu tak pernah putus walau dalam kesulitan.
“Ia tidak memerlukan pujian, tetapi tetap teguh. Saya tidak mahu ibu saya keseorangan dalam perjuangan ini,” katanya.
“
“Cinta seorang anak kepada ibu tak pernah putus, walau dalam kesulitan. Saya tidak mahu ibu saya keseorangan dalam perjuangan ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg