Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesakit jantung bakal terima jagaan lebih baik dalam program baru

Daya utama oleh Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS), Yayasan Lien gabung jagaan paliatif ke bidang kepakaran kardiologi
Jan 20, 2025 | 8:16 PM
Dalam contoh proses pemeriksaan, Profesor Madya Kenneth Chew (tengah), perunding bagi Jabatan Kardiologi di Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS), memeriksa pesakit, Encik Lam Theam Fatt (kanan), 63 tahun pada 20 Januari 2025. Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS) dan Yayasan Lien bakal mengadakan daya utama Program ‘Heartlanders’ bagi membantu 9,000 pesakit mengalami kegagalan jantung dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dalam contoh proses pemeriksaan, Profesor Madya Kenneth Chew (tengah), perunding bagi Jabatan Kardiologi di Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS), memeriksa pesakit, Encik Lam Theam Fatt (kanan), 63 tahun pada 20 Januari 2025. Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS) dan Yayasan Lien bakal mengadakan daya utama Program ‘Heartlanders’ bagi membantu 9,000 pesakit mengalami kegagalan jantung dalam tempoh lima tahun akan datang. - Foto ST

Dalam tempoh lima tahun akan datang, lebih 9,000 pesakit yang mengalami kegagalan jantung dijangka mendapat manfaat daripada Program ‘Heartlanders’, satu daya utama oleh Yayasan Lien dan Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS).

Disokong oleh pembiayaan sebanyak $6.5 juta daripada Yayasan Lien, daya utama itu mengintegrasikan penjagaan paliatif ke bidang kepakaran kardiologi.

Ini agar penjagaan paliatif asas diberikan lebih awal oleh pakar kardiologi dan karyawan kesihatan lain kepada pesakit yang memerlukan.

Selain itu, NHCS akan bekerjasama dengan rakan kongsi rawatan asas dan masyarakat termasuk jururawat masyarakat dari Pejabat Kesihatan Serantau SingHealth, untuk membina ekosistem dalam menyokong pesakit yang mengalami kegagalan jantung dalam masyarakat.

Transformasi penyampaian penjagaan itu selaras dengan aspirasi SG Lebih Sihat dan bertujuan meningkatkan mutu hidup serta mengelakkan masyarakat daripada dimasukkan ke hospital.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan NHCS pada 20 Januari, mereka menyatakan melalui Program ‘Heartlanders’, setiap pesakit yang mengalami kegagalan jantung akan diperiksa semasa di hospital bagi mengenal pasti keperluan perubatan dan psikososial mereka.

Setiap pesakit diberikan penyelaras penjagaan kardio-paliatif yang khusus bagi memahami matlamat penjagaan mereka serta melatih mereka menguruskan simptom berkaitan penyakit jantung dengan lebih berkesan.

Kebanyakan keperluan asas bagi penjagaan paliatif diuruskan oleh pakar kardiologi dan jururawat kegagalan jantung.

Manakala keperluan yang lebih kompleks dirujuk kepada pakar penjagaan paliatif atau karyawan lain seperti pekerja sosial perubatan, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pelbagai kemahiran yang lebih besar.

Dengan memberi penjagaan paliatif di peringkat awal, pesakit dapat meraih manfaatnya lebih awal, berbeza daripada amalan konvensional yang hanya memberikan penjagaan paliatif di peringkat akhir kehidupan mereka.

Pendekatan awal itu juga dirancang untuk diperluaskan kepada penyakit jantung lain.

Selain itu, selepas pulang dari hospital, penyelaras akan terus memantau keadaan pesakit, memberi bimbingan berterusan, serta menghubungkan mereka dengan program kesejahteraan dan sosial yang sesuai dalam masyarakat.

Seiring dengan perkembangan program itu, kerjasama dengan rakan lain turut akan ditambah.

Setakat ini, antara kerjasama yang telah dibina adalah dengan doktor umum (GP) dan perkhidmatan rawatan asas seperti Program Bantuan Bermatlamat (DOT) SingHealth yang mempunyai 194 GP.

Doktor tersebut akan memantau keperluan ubat pesakit dan berhubung dengan pakar kardiologi NHCS melalui pengurusan kes berterusan dan protokol susulan yang telah ditetapkan.

Selain itu, jururawat masyarakat, termasuk mereka dari Pejabat Kesihatan Wilayah SingHealth dan lokasi lain di seluruh negara, akan menjalankan pemantauan simtom, bimbingan kesihatan peribadi, pemberian ubat-ubatan, perbincangan penjagaan berterusan, serta meningkatkan dan menyelaras penjagaan dengan pakar dan doktor umum.

NHCS akan menyediakan perkhidmatan buat pesakit di dalam hospital yang memerlukan pemulihan, dan memindahkan mereka ke perkhidmatan pemulihan masyarakat seperti Yayasan Jantung Singapura selepas mereka pulang dari hospital.

Karyawan sektor perubatan akan dilengkapi dengan penjagaan paliatif asas yang memenuhi kebanyakan keperluan paliatif untuk mencapai matlamat yang diinginkan.

NHCS dan Pusat Penjagaan Paliatif Lien (LCPC) di Sekolah Perubatan Duke-NUS telah membangunkan kursus penjagaan kardio-paliatif bagi semua kakitangan NHCS dan rakan masyarakat.

Ia melatih karyawan sektor perubatan untuk mengadakan perbincangan penjagaan dengan pesakit dan keluarga mereka, memahami rawatan rumit dalam penjagaan jantung dan paliatif, serta mengurus keputusan penting berkaitan dengannya.

Pendidikan paliatif juga akan disertakan dalam latihan kardiologi, memastikan pakar jantung pada masa hadapan mahir dalam aspek tersebut ketika menjaga pesakit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg