Seorang pempengaruh agama berusia 37 tahun yang menjadi figura bapa kepada dua kanak-kanak lelaki daripada keluarga berpecah-belah telah berulang kali merogol si adik, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun, selain mencabul abangnya yang berusia antara 11 dengan 12 tahun.

Pesalah dikenakan hukuman penjara selama 27 tahun 10 bulan dan 24 sebatan pada 17 Ogos.

Menurut dokumen mahkamah, sebelum pesalah melakukan kesalahan seksual itu, dia telah mendapatkan kepercayaan dua beradik tersebut sehingga mereka memanggilnya “daddy” (ayah), manakala dia menganggap mereka sebagai “anak-anaknya”.

Dokumen mahkamah juga menyatakan dua beradik itu dijaga oleh nenek sebelah ibu mereka selepas bapa mereka meninggalkan mereka susulan perceraian dengan ibu mereka.

Ibu mereka pula ditempatkan di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) dari Oktober 2021 hingga Oktober 2023.

Pesalah, yang sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, mengendalikan akaun TikTok yang memuat naik video pendek terutamanya mengenai agama.

Namun, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengesahkan kepada Berita Harian (BH) pada 17 Ogos bahawa pesalah bukan kakitangan atau sukarelawan masjid dan juga bukan asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Pada April 2022, abang mangsa terserempak dengannya di sebuah masjid dan mengenalinya daripada wadah media sosial TikTok sebelum memperkenalkan diri kepadanya.

Hubungan mereka kemudian menjadi rapat dan pesalah membawa mangsa bermain bola sepak, mengunjungi rumahnya, serta mendengar masalah keluarganya.

Apabila nenek mangsa mendapat tahu mengenai hubungan tersebut, beliau meminta cucunya mengundang lelaki itu ke rumah supaya dapat mengenalinya sendiri.

Beliau mendapati pesalah “sangat beragama”, selain mengetahui lelaki itu merupakan rakan zaman kanak-kanak kepada dua anak lelakinya.

Menurut dokumen mahkamah, setelah yakin bahawa pesalah boleh dipercayai, keluarga tersebut membenarkannya memainkan peranan lebih besar dalam kehidupan dua beradik berkenaan.

Selepas itu, pesalah menghantar abang daripada dua beradik itu ke sekolah serta mengunjungi rumah mereka bersama isterinya.

Pesalah kemudian mula meluangkan masa bersendirian dengan adik daripada dua beradik itu, termasuk membawanya ke masjid, menjemputnya dari sekolah dan membawanya keluar makan.

Lelaki itu kemudian memberitahu nenek dua beradik itu bahawa dia mahu menjadi figura bapa dan pembimbing agama kepada kededua kanak-kanak tersebut.

Dokumen mahkamah juga menyatakan bahawa dia turut membawa kededua beradik bermalam di rumahnya dan ke masjid untuk menunaikan solat pada waktu pagi.

Namun, antara 2022 dengan 2023, pesalah mula merogol adik daripada dua beradik tersebut, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun.

Selepas salah satu kejadian, dia memberitahu mangsa bahawa mereka hanya “berseronok” dan jika kanak-kanak itu memberitahu orang lain, ia bermakna dia tidak “sayangkan Daddy” dan “Daddy (akan) masuk penjara”.

Menurut dokumen mahkamah, pesalah turut menggunakan perkataan “rahsia” sebagai kod untuk merujuk kepada perbuatan seksual tersebut.

Sekitar tempoh itu, dua beradik tersebut pergi ke masjid lima hari seminggu untuk menghadiri kelas agama selama kira-kira sejam bersama rakan lain yang dikendalikan pesalah.

Pesalah kemudian merogol adik daripada dua beradik itu di tandas masjid, selain melakukan perbuatan sama di lokasi lain.

Perbuatannya terbongkar pada April 2024 apabila mangsa bertanya kepada ibunya sama ada perbuatan seksual yang dilakukan pesalah terhadapnya adalah salah.

Abang daripada dua beradik itu kemudian turut mendedahkan bahawa lelaki itu pernah mencabulnya.

Apabila berdepan keluarga mangsa, pesalah pada mulanya mendakwa dia tidak mungkin melakukan serangan seksual kerana mengalami disfungsi ereksi.

Dia akhirnya mengaku melakukan perbuatan itu, tetapi mendakwa dirinya berada di bawah pengaruh “jin”.

Polis dihubungi dan pesalah ditangkap pada hari yang sama.