MAHKAMAH akan dapat menangani pencabul kehormatan dengan lebih tegas lagi mulai Selasa (1 Mac) apabila hukuman yang dipertingkat bagi jenayah seks mula berkuatkuasa.
Akta 2021 (Pindaan Lain) Undang-Undang Jenayah diluluskan Parlimen pada 12 September tahun lalu.
Pindaan ini menambah hukuman bagi kesalahan seksual, memperluas dan memperjelas skop kesalahan tertentu dan belaannya serta memodenkan bahasa undang-undang.
Jumlah kes cabul dan kes intai meningkat tahun lalu.
Dalam perangkaan tahunan terkini, polis berkata terdapat 1,480 kes cabul pada 2021, berbanding 1,321 kes pada 2020.
Kes intai pula bertambah kepada 467 kes tahun lalu, daripada 394 kes pada 2020.
Satu kenyataan bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Undang-Undang berkata beberapa pindaan ini akan bermula pada Selasa.
Ini termasuk tambahan pada tempoh penjara maksimum bagi pencabul kehormatan kepada tiga tahun daripada dua tahun kini.
Hukuman maksimum bagi kesalahan seksual lain juga dinaikkan mulai Selasa sejajar dengan hukuman maksimum yang sedia ada melibatkan individu bawah umur.
Seseorang yang terlibat dalam sebarang kegiatan seksual dengan kehadiran individu bawah umur berusia 14 hingga 16 tahun, atau menunjukkan seseorang imej seksual, akan menerima hukuman maksimum penjara dua tahun, bertambah daripada hukuman setahun kini.
Jika budak bawah umur itu berusia 16 hingga 18 tahun dengan si pesalah bertujuan memperguna budak itu dalam hubungan tersebut, tempoh penjara maksimumnya juga meningkat kepada dua tahun.
Pada 2017, seorang jurulatih seni pertahanan diri dipenjara empat tahun, antara lain, kerana mengadakan hubungan seks dengan kerelaan bersama dua budak perempuan bawah umur dan menunjukkan klip video lucah kepada budak enam tahun.
Hukumannya itu menyebabkan orang awam marah dengan kebanyakannya menyifatkannya sebagai terlalu ringan.
Menyusuli maklum balas orang awam ini, Menteri Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, telah memberitahu Parlimen bahawa hukuman bagi jenayah seks terhadap individu bawah umur akan disemak semula.
Kesalahan seksual lain juga akan diperluas dan diperjelas mulai Selasa.
Adalah satu kesalahan untuk mendapatkan izin bagi seks dengan memperdaya mangsa tentang penggunaan sebarang langkah perlindungan seks atau mengenai adanya penyakit jangkitan kelamin (STD).
Ini akan diperluas dengan menetapkan agar memperdaya mangsa untuk memberi kebenaran disentuh secara seksual oleh orang ketiga akan dianggap sebagai satu kesalahan.
Kesalahan ini juga akan diperjelas melibatkan langkah memperdaya mangsa mengenai risiko mendapat STD, seperti bila si pesalah menipu mangsa dengan menyatakan STD tidak boleh dijangkiti menerusi seks.
Definisi perkataan yang digunakan berkaitan dengan kesalahan mengintai, bahan dera kanak-kanak dan bahan dera budak bawah umur akan juga diperjelas.
Kesalahan mengadakan hubungan seks dengan mayat yang kini menggunakan kekata 'any man' (mana-mana lelaki) akan dijadikan neutral secara jantina dan diperluas untuk meliputi bentuk kelakuan seks lain melibatkan mayat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg