Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesara rindu uniform selepas 17 tahun berkhidmat sebagai Adikung Kehormat
Pesara rindu uniform selepas 17 tahun berkhidmat sebagai Adikung Kehormat
Pernah jadi pengawal penjaga sewaktu pengebumian negara mendiang Lee Kuan Yew dan Presiden S. R. Nathan
SELAMA 17 tahun ketika bertugas sebagai pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Mejar (Bersara) Ridzwan Abu Bakar akan mengambil sekitar sejam untuk menggosok pakaian seragam Nombor 5, sehari sebelum melaporkan dirinya ke Istana untuk bertugas.
Menurutnya ia adalah satu amalan harian – hingga beliau sanggup menolak tawaran isterinya untuk membantu menggosok uniform itu – demi memastikan keterampilan suit berwarna hijau zaitun itu mencapai standard yang ditetapkan beliau sendiri.
Mantan Adikung Kehormat (HADC) itu, yang telah berbakti kepada Istana selama tiga penggal kepresidenan itu berkata beliau sedih tidak dapat melakukan amalan itu lagi, bahkan dihimpit rasa rindu.
Mejar Ridzwan, 50 tahun, seorang mantan Ketua Fakulti Pakar Subjek di Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) telah bersara dari SAF pada Disember 2022.
Pada 16 Mei, beliau merupakan antara 25 pegawai HADC yang menerima sijil penghargaan daripada Presiden Halimah Yacob semasa Majlis Pelantikan dan Upacara Makan Malam HADC di Istana atas khidmatnya kepada pejabat tertinggi negara itu.
Ketika diwawancara, Mejar Ridzwan berkata beliau mendapat inspirasi untuk menetapkan ketrampilan yang tinggi bagi dirinya sendiri oleh arwah bapanya, seorang mantan Pegawai Waran di SAF.
“Kalau bab hidup secara regimentasi ini, saya memang suka!” katanya kepada wartawan.
“Sebab dahulu, arwah ayah saya selalu pesan kepada saya, kita kena tetapkan standard tinggi terhadap diri sendiri sebelum menyuruh orang lain berbuat demikian.
“Ini kerana sebagai seorang pegawai kanan dan seorang pemimpin, kita harus mengamalkan prinsip ini dan menjadi contoh teladan kepada pegawai lebih muda, sebelum kami menyuruh mereka mematuhinya,” katanya.
Antara lain, Mejar Ridzwan yang secara berperingkat-peringkat telah mendaki tangga kenaik[Ϟ]an pangkat dan menyandang jawatan kepimpinan dalam kor HADC itu, telah mengetuai beberapa pasukan statik atau Kawalan Kehormatan semasa Majlis Penyampaian Anugerah Hari Kebangsaan.
Presiden Halimah yang memujinya semasa majlis makan malam pada 16 Mei itu berkata: “Semua orang melihat Majlis Penyampaian Anugerah Hari Kebangsaan itu sebagai sebuah upacara yang teratur dan dirancang dengan baik dan ia juga adalah acara berskala besar. Namun ramai yang tidak tahu kerja di balik tabir acara seperti itu.
“Sebenarnya ia adalah hasil titik peluh pegawai HADC dan ADC (Adikung sepenuh masa). Dan saya kira, rakyat Singapura, dan pihak kementerian dan agensi tempatan di sini perlu menghargai mereka.”
Selain itu, tugas Mejar Ridzwan lain termasuk menjadi pegawal penjaga (vigil guard) sewaktu upacara pengebumian negara bagi perdana menteri pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew dan mantan Presiden S. R. Nathan.
Beliau juga turut menyertai lawatan luar negara bersama Puan Halimah ke negara-negara tertentu seperti Kuwait dan Arab Saudi.
Apabila ditanya mengenai perasaannya sekarang selepas bersara, Mejar Ridzwan berkata:
“Sudah tentu saya rindu persahabatan rapat dikongsi antara pegawai Adikung, dan juga kakitangan di Istana, daripada pegawai keselamatan kepada pekerja pembersihan dan lain-lain lagi.”
Beliau juga rasa rindu memikul tanggungjawab membimbing pegawai HADC yang lebih muda.
“Ia adalah satu tradisi bagi kami untuk membantu pegawai baru. Apabila mereka berjaya, kami juga rasa tempiasnya. Kami rasa puas sebab kami seolah-olah telah melakukan yang terbaik bagi diri kami sendiri.
“Satu nasihat daripada saya kepada mereka adalah untuk sentiasa bersedia menyediakan khidmat kepada Presiden,” ujarnya lagi.
