Pesawat tangki MRTT RSAF tamat misi pemindahan pelarian Afghanistan
Pesawat tangki MRTT RSAF tamat misi pemindahan pelarian Afghanistan
PESAWAT Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) kembali ke Singapura selepas tamat misi kemanusiaan memindahkan sekumpulan orang awam dari Afghanistan.
Pesawat yang dikerahkan pada 26 Ogos ke Pangkalan Udara Al Udeid bagi membawa individu ini berangkat ke Jerman selepas Afghanistan jatuh ke tangan Taliban pada 15 Ogos menyusuli pengunduran Amerika Syarikat.
Lebih 2,000 orang dipindahkan dalam tempoh dua minggu, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataannya pada Jumaat (10 September).
Pesawat yang kembali ke sini itu disambut di Pangkalan Udara Changi (Timur) pada Jumaat oleh Ketua Pasukan Pertahanan, Leftenan-Jeneral Melvyn Ong, bersama pegawai ketenteraan kanan lain termasuk Panglima Tentera Mejar-Jeneral Goh Si Hou dan Ketua Tentera Udara, Mejar Jeneral Kelvin Khong.
Misi ini melibatkan 77 pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) termasuk juruterbang, kru udara, jurutera dan pegawai keselamatan daripada Tentera Singapura.
Data penerbangan sumber terbuka menunjukkan pesawat tangki yang disahkan beroperasi penuh pada April telah berulang-alik antara Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar dengan dua pangkalan udara ketenteraan Amerika di barat daya Jerman - Ramstein dan Spangdahlem.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah menawarkan MRTT bagi membantu Amerika Syarikat dalam operasi pemindahan pada 23 Ogos sewaktu lawatan Naib Presiden Kamala Harris ke Singapura.
Chargé d'Affaires Kedutaan Amerika, Encik Rafik Mansour, pada Jumaat, mengucapkan terima kasih kepada Singapura kerana bantuan yang diberi dalam memindahkan orang awam dari Afghanistan.
"Bagi pihak warga Amerika, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Lee dan rakan kerjasama kami di SAF kerana menyokong operasi pemindahan ini," katanya.
Encik Mansour berucap di upacara peringatan di Kedutaan Amerika, di mana kakitangan dan keluarga mengenang ulang tahun serangan 11 September pada 2001 dengan bertafakur.
"Pada hari-hari menyusuli serangan itu, warga Amerika bersatu. Sahabat, sekutu dan jiran kami, baik dekat atau jauh, berdiri teguh dan menawarkan tangan mereka tanda persahabatan serta bahu mereka sebagai sandaran. Sokongan mencurah-curah diterima dari merata dunia diwakili yang terbaik dalam kemanusiaan," jelasnya.

