Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesuruhjaya amal pecat pengerusi kuil
Pesuruhjaya amal pecat pengerusi kuil
PENGAWAS badan amal telah menggugurkan pengerusi kuil Hindu daripada jawatannya dengan serta merta setelah penyiasatan mendapati "salah urus buruk" dalam mengurusan kuil itu.
Encik Sivakadacham juga tidak boleh menjadi anggota lembaga atau pemegang amanah Kuil Sri Veeramakaliamman di Serangoon Road, kata Pesuruhjaya Badan Amal dalam satu kenyataan hari ini (6 Ogos).
"Pesuruhjaya Badan Amal berpuas hati bahawa terdapat salah urus dalam pentadbiran badan amal yang diterajui Sivakadacham."
Pada April, Pesuruhjaya berkata satu siasatan mendapati terdapat kelemahan "yang teruk" oleh anggota utama lembaga itu sebagai penjaga aset kuil itu antara Januari 2011 dan Julai 2014.
Kawalan dalaman hampir 'tidak wujud'.
Tingkah laku itu telah meletakkan dana dan aset kuil kepada risiko.
Sebagai contoh, pemegang jawatan utama lazim mengeluarkan cek yang tidak dipangkah dan membenarkan ia ditukar dengan wang tunai di kuil.
Antara Januari 2011 dan Julai 2014, kuil mengeluarkan sekurang-kurangnya 823 cek tidak berpangkah berjumlah lebih $1.5 juta. Daripada jumlah itu, 45 cek bernilai lebih $227,000 diberi kepada orang yang bukan penerima yang dimaksudkan.
Pengguguran Encik Sivakadacham berlaku kira-kira tiga bulan selepas Pesuruhjaya Amal, Dr Ang Hak Seng, menggantungnya daripada jawatan itu.
Selepas beberapa bulan mendapatkan maklum balas mengenai rancangannya menggugurkan Encik Sivakadacham, Dr Ang berpuas hati bahawa tindakan itu perlu bagi melindungi aset badan amal.
Selain dipecat dari jawatannya di kuil, Encik Sivakadacham juga tidak layak menjadi anggota lembaga, pemegang amanah atau pegawai utama di mana-mana badan amal pada masa depan.
