Topik diikuti
Pergi ke BHkuPiagam Kejiranan baru usaha pupuk buat baik dengan jiran pelbagai agama
Piagam Kejiranan baru usaha pupuk buat baik dengan jiran pelbagai agama
Usaha memperkukuh persefahaman antara agama merupakan satu ikhtiar berterusan, terutamanya ketika suasana global kadangkala menyaksikan geseran akibat salah tanggapan terhadap agama, kata Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Beliau menambah bahawa keharmonian yang dinikmati di Singapura hari ini adalah hasil usaha gigih pelbagai pihak yang tidak pernah berhenti menguruskan isu serta meningkatkan persefahaman sesama masyarakat.
Atas dasar itu, pelancaran Piagam Kejiranan pada 14 Oktober – yang dibangunkan menerusi proses kerjasama melibatkan wakil daripada 10 tradisi agama – merupakan langkah untuk memupuk semangat berbuat baik kepada jiran tetangga tanpa mengira latar belakang, kata Dr Nazirudin.
Demikian dikongsi beliau bersama wartawan di sambutan Ulang Tahun Ke-20 Pusat Harmoni dan Masjid An-Nahdhah di Hotel Ritz Carlton pada hari tersebut.
“Saya dan para pemimpin agama, kami memikirkan langkah terutamanya bagi generasi muda dan akan datang, apakah lagi yang perlu diperkukuhkan?
“Terutamanya dalam konteks dan suasana banyak perkembangan di peringkat global... kami rasa usaha untuk memperkukuhkan persefahaman sedemikian ialah usaha yang berterusan,” kata Dr Nazirudin.
Menurutnya, mereka memulakan dengan satu usaha memupuk iltizam sesama agama dengan usaha berbuat baik dengan jiran, “kerana mereka berada yang paling dekat dengan kita”.
“Pemimpin agama menyokong usaha ini dan mereka telah mengesyorkan agar kita memperkenalkan piagam bagi kejiranan iaitu Charter on Neighbourliness (Piagam Kejiranan).
“Ini kerana, masyarakat beragama diajar setiap hari dalam ajaran agama, nilai agama, dan juga amalan kita untuk menghormati dan menyayangi jiran dan berbuat baik kepada jiran,” tambahnya.
Di majlis makan malam yang dihadiri sekitar 450 hadirin, termasuk pemimpin agama dan masyarakat, rakan kerjaya rentas agama, pegawai awam, serta sukarelawan dan rakan kongsi kedua-dua Masjid An-Nahdhah dan Pusat Harmoni, seramai 10 pemimpin agama termasuk Dr Nazirudin telah membaca Piagam Kejiranan itu.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran satu panduan dalam talian atau toolkit silang agama bagi memudahkan pemahaman antara agama selain membina hubungan bermakna dalam kehidupan seharian.
Dalam satu kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 14 Oktober, mereka berkata piagam itu menterjemahkan iltizam bersama untuk memperkukuh hubungan merentasi perbezaan agama, berteraskan nilai-nilai sepunya seperti kemuliaan insan, ihsan, rasa hormat, perpaduan, dan tanggungjawab terhadap satu sama lain.
“Berteraskan asas keharmonian agama yang kukuh di Singapura, piagam ini menggalakkan rakyat Singapura untuk memperdalam hubungan mereka menerusi amalan harian berasaskan persefahaman, ihsan, dan semangat kejiranan,” kata MUIS.
Sementara itu, berkongsi pendapatnya mengenai piagam itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Hindu, Encik K Sengkuttuvan berkata:
“Ini merupakan satu inisiatif yang sememangnya telah lama berada dalam fikiran kebanyakan masyarakat kita di sini, namun Pusat Harmoni telah menggalas tugas ini dan merangkanya dengan begitu baik sekali.
“Ia menghimpunkan kesemua 10 agama, mendapatkan input mereka, serta berusaha gigih merangka satu piagam yang sangat mudah difahami.”