SATU piawaian tiga pihak baru untuk membantu majikan yang ingin menyokong kakitangan mereka mengecapi keharmonian kerja dan kehidupan telah dilancarkan semalam.
Dipanggil Piawaian Tiga Pihak mengenai Keharmonian Kerja-Kehidupan (WLH), ia menampilkan amalan pekerjaan yang disarankan yang mengiktiraf keutamaan kakitangan pada tahap berbeza kehidupan mereka.
Selain itu, ia menyokong kakitangan dalam menguruskan kedua-dua tanggungjawab kerja dan aspirasi peribadi, yang sekali gus membolehkan mereka mencapai keharmonian kerja dan kehidupan.
Piawaian tiga pihak itu, yang dibangunkan bersama oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef), dilancarkan Menteri Negara (Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, di sesi Masyarakat Amalan umum Perikatan untuk Bertindak (AfA) mengenai WLH Kedua semalam.
Untuk mengamalkan Piawaian Tiga Pihak mengenai WLH itu, majikan akan perlu melaksanakan beberapa amalan pekerjaan.
Ini seperti mengamalkan Piawaian Tiga Pihak mengenai Aturan Pekerjaan Fleksibel yang sedia ada, dan menyediakan sekurang-kurangnya dua skim sokongan kakitangan, seperti pemeriksaan kesihatan bersubsidi dan kawasan riadah kakitangan, dan memaklumkan tentang skim tersebut dan proses memohon baginya kepada mereka.
Amalan lain yang disarankan termasuk menyediakan manfaat cuti dipertingkat untuk kakitangan, melantik pejuang WLH dari kalangan pihak pengurusan kanan, dan menyemak keberkesanan program kerja-kehidupan dengan kerap demi memastikan ia memenuhi keperluan kakitangan.
Cik Gan berkata dalam norma baru ini, rakyat Singapura semakin terbiasa dengan cara kerja hibrid, namun mereka juga lebih prihatin tentang sempadan kerja-kehidupan yang semakin kabur dan berharap dapat mengimbangi komitmen tugas dan peribadi dengan lebih baik.
"Ini telah memberikan kami dorongan untuk melihat bagaimana kami boleh lebih menyokong majikan dan kakitangan dalam mengecapi keharmonian kerja-kehidupan. Mengamalkan Piawaian Tiga Pihak mengenai WLH baru ini adalah satu langkah ke arah yang betul.
"Dengan melakukan demikian, kami mengiktiraf bahawa keperluan kakitangan dan majikan berbeza mengikut peranan pekerjaan dan tahap kehidupan.
"Marilah kita berusaha menerapkan amalan kerja-kehidupan yang terbaik untuk meningkatkan semangat dan prestasi kakitangan," kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg