Piawaian lebih tinggi bagi asrama pekerja asing demi kesihatan awam
Piawaian lebih tinggi bagi asrama pekerja asing demi kesihatan awam
TAHAP piawaian lebih tinggi bagi asrama pekerja asing telah dibangunkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pembangunan Nasional (MND) dan Kementerian Kesihatan (MOH).
Ini demi memperkukuh ketahanan Singapura terhadap pandemik masa depan serta meningkatkan keselesaan hidup.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MOM berkata piawaian baru itu akan dilaksanakan ke atas kesemua asrama baru termasuk dormitori dibina khusus (PBD), kuarters sementara binaan tambahan (CTQ), kilang yang diubah jadi dormitori (FCD) dan kuarters dengan lesen penetapan sementara (TOLQ).
Piawaian baru itu diharap dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit di asrama pekerja dengan mengurangkan percampuran antara penghuni asrama dengan mengasingkan kemudahan yang dikongsi seperti tempat memasak dan mencuci pakaian; memperbaiki pengaliran udara di bilik dan tandas; dan pengesanan awal serta pengasingan pantas penghuni yang kurang sihat.
Menurut MOM, setiap bilik dihadkan kepada 12 orang dengan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara setiap katil; dan liputan Wi-Fi di dalam bilik untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan keluarga dan rakan mereka.
Untuk memastikan tempat tinggal mencukupi bagi pekerja asing ini, pemerintah akan melancarkan dua tapak PBD di Kranji dan di Jalan Tukang yang dijangka siap dalam tiga tahun mendatang, tambah kenyataan itu.

