PASUKAN kawasan undi telah mula mencari butiran penduduk yang telah tampil mendapatkan bantuan untuk melihat jika ada isi rumah yang memenuhi penerangan yang dilaporkan sejauh ini mengenai keluarga yang terlibat dalam kes di mana mayat pasangan kembar lelaki dijumpai di Greenridge Crescent Jumaat lalu, kata Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah, Cik Sim Ann.
Namun tiada maklumat yang ditemui sepanjang pencarian itu sejauh ini.
Cik Ann yang telah menghadiri sesi bertafakur antara agama di tapak kejadian itu, juga telah berbual dengan beberapa penduduk yang menghadiri sesi tersebut.
"Para penduduk kami melahirkan rasa terperanjat dan sedih berhubung kes ini lebih-lebih lagi sedang banyak butiran mula diketahui.
"Mereka juga memberitahu saya bahawa mereka sering berasa selamat tinggal di kawasan undi ini," katanya yang menambah bahawa ada yang bertanyakan sama ada persepsi keselamatan kawasan kejiranan itu akan terjejas ekoran tragedi ini.
"Saya memberi jaminan kepada penduduk bahawa saya akan mengetengahkan isu ini kepada polis selepas kes ini selesai."
Polis telah memberkas bapa pasangan kembar lelaki berusia 11 tahun kerana dipercayai terlibat dalam pembunuhan kedua-dua anaknya.
Dalam kenyataannya pada 11.14 malam kelmarin , polis menyatakan suspek berusia 48 tahun.
Pada 6.25 petang Sabtu, polis menerima panggilan meminta pertolongan oleh seorang lelaki di sebuah taman permainan di Greenridge Crescent, Bukit Timah.
Semasa polis tiba di tempat kejadian, dua anak lelakinya dilihat terbujur di kawasan permainan tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik.
Pasangan kembar 11 tahun, Ethan dan Ashton Yap, dikatakan kanak-kanak keperluan khas dan dipercayai pelajar sekolah di estet kawasan Eng Kong.
Ia difahamkan mayat pasangan kembar itu dijumpai di dalam longkang besar dan dalam, merentasi taman permainan yang terletak di sudut estet perumahan privet yang merangkumi rumah teres dan rumah berkembar.
Polis melakukan siasatan menyeluruh dan hasil siasatan rapi, membawa kepada penangkapan bapa pasangan kembar itu.
Dia akan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.
Jika disabit kesalahan, boleh dihukum mati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg