Kebelakangan ini, saya sering terfikir bahawa makna ‘kehidupan yang baik’ semakin sukar ditakrifkan.

Bagi ramai orang muda, mempunyai pekerjaan tetap, rutin harian sederhana dan kehidupan stabil kadangkala dirasakan tidak lagi mencukupi.

Di media sosial, kita sering melihat rakan sebaya membeli rumah, melancong jauh, memulakan perniagaan, menukar kerjaya, atau melakar pencapaian besar pada usia muda.

Tanpa sedar, kita mula membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain.

Adakah saya cukup berjaya?

Adakah saya terlalu lambat?

Adakah hidup saya terlalu biasa?

Perasaan itu mungkin tidak selalu disebut secara terbuka, tetapi ia wujud dalam diam.

Ada kalanya, kita melihat pencapaian orang lain lalu mula mempersoalkan perjalanan sendiri, walaupun sebenarnya setiap orang mempunyai keadaan, tanggungjawab dan kemampuan yang berbeza.

Namun, menerusi perbualan dengan rakan sebaya, saya sedar ada juga orang muda yang tekad memilih kehidupan lebih sederhana.

Seorang rakan saya misalnya, memilih untuk tidak mengejar pekerjaan bergaji lebih tinggi kerana tidak mahu mengorbankan kesihatan mental dan masa bersama keluarga.

Ada juga kenalan yang memilih untuk tinggal bersama ibu bapa lebih lama.

Ini bukan kerana menolak kehidupan berdikari, tetapi demi menyimpan wang dan membantu keluarga.

Seorang lagi memilih untuk tidak membeli kereta walaupun mampu.

Beliau selesa menggunakan pengangkutan awam dan mahu mengelak komitmen kewangan yang besar.

Mereka mungkin tidak selalu berkongsi kisah hidup di media sosial.

Tiada gambar mewah, pencapaian besar atau kapsyen panjang tentang kejayaan.

Tetapi pilihan mereka juga menuntut keberanian.

Dalam dunia yang sering mengukur nilai seseorang menerusi apa yang dapat dilihat, memilih hidup sederhana umpama melawan arus.

Kita hidup pada zaman yang mendorong manusia sentiasa mengejar sesuatu seperti pekerjaan lebih baik, pendapatan lebih tinggi, kesihatan lebih terjaga, percutian menarik, atau kehidupan yang kelihatan lebih sempurna.

Tiada salahnya mempunyai cita-cita.

Malah, keinginan untuk maju itu penting.

Namun, masalah bermula apabila kita mula percaya bahawa kehidupan yang tidak kelihatan luar biasa bererti ia kurang bernilai.

Bagi saya, kehidupan yang baik tidak semestinya perlu tampak hebat pada pandangan orang lain untuk tetap bermakna.

Kadangkala, ia sekadar bermakna mempunyai cukup wang untuk hidup tenang, cukup masa untuk keluarga, cukup tenaga untuk diri sendiri dan rasa syukur menerima perjalanan hidup masing-masing. Hal itu sendiri sudah cukup bermakna.

Ia juga boleh bermakna mampu tidur dengan fikiran yang lebih lapang, mempunyai ruang untuk menjaga ibu bapa, atau menikmati rutin kecil tanpa sentiasa rasa perlu mengejar sesuatu.

Mungkin hidup sederhana bukan bermakna seseorang sudah berhenti mengejar impian.

Sebaliknya, ia mungkin tanda seseorang itu semakin memahami apa yang benar-benar penting dalam hidupnya.

Akhirnya, tidak semua kemajuan perlu dilihat orang.

Ada perkembangan yang berlaku secara senyap menerusi cara kita mengurus wang, menjaga hubungan, mengawal emosi, atau belajar agar tidak membandingkan diri secara berlebihan.

Dalam dunia yang sentiasa mendorong kita mengejar lebih banyak perkara, memilih kehidupan yang stabil, jujur dan bermakna juga satu bentuk kejayaan.

“Akhirnya, tidak semua kemajuan perlu dilihat orang... Dalam dunia yang sentiasa mendorong kita mengejar lebih banyak perkara, memilih kehidupan yang stabil, jujur dan bermakna juga satu bentuk kejayaan.”
Penulis.