Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Presiden 2023 adalah pada 22 Ogos dan rakyat akan keluar mengundi pada 1 September jika lebih daripada seorang layak bertanding.

Rakyat Singapura akan mengetahui sama ada mereka harus mengundi atau jika seorang calon menang tanpa bertanding, pada Hari Penamaan Calon.

Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden mesti menyemak semua calon presiden dan memaklumkan keputusan mereka sebelum Hari Penamaan Calon.

Sekiranya hanya ada seorang calon yang layak, dia akan diisytiharkan sebagai Presiden pada Hari Penamaan Calon.

Butiran ini dikeluarkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Jumaat. Ia juga mengumumkan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong telah mengeluarkan Writ Pilihan Raya Presiden.

Hari Mengundi diisytiharkan sebagai cuti umum.

Penamaan calon akan berlangsung di auditorium Persatuan Rakyat di 9 King George’s Avenue.

Pegawai Pengurus Undi ialah Encik Tan Meng Dui, ketua eksekutif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Menulis di Facebook pada Jumaat, Encik Lee berkata beberapa individu telah tampil dan memberitahu mereka berminat bertanding di Pilihan Raya Presiden.

“Ini telah dilaporkan secara meluas di media dan saya pasti anda akan mendengar lebih banyak lagi daripada calon semasa tempoh berkempen,” kata beliau.

“Saya berharap anda akan mendengar dengan teliti apa yang dikatakan oleh setiap calon dan fahami pandangan masing-masing. Presiden kita mewakili semua rakyat Singapura dan adalah lambang perpaduan dan aspirasi kita. Saya harap semua rakyat akan mengundi secara bijak bagi calon terbaik untuk jawatan itu.”

Buat masa ini, empat individu telah tampil melahirkan hasrat bertanding: bekas menteri kanan Encik Tharman Shanmugaratnam, 66 tahun, usahawan Encik George Goh, 63 tahun, bekas ketua pelaburan GIC Encik Ng Kok Song, 75 tahun dan bekas ketua NTUC Income Encik Tan Kin Lian, 75 tahun.

Pada 29 Mei, Presiden Halimah Yacob mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Encik Tharman melancarkan bidaannya untuk jawatan presiden pada 26 Julai.

Encik Goh menyerahkan borangnya pada Jumaat lalu, dan Encik Ng awal minggu lalu.

Encik Tan melancarkan bidaan presidennya pada hari Jumaat.