Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan Raya Presiden: Calon digalak manfaat media sosial, televisyen, ‘tidak digalak’ anjur rapat

Aug 12, 2023 | 1:56 PM
PERLU PATUHI GARIS PANDUAN: Calon pilihan raya presiden digalak menggunakan saluran bagi mendekati pengundi secara keseluruhan seperti melalui siaran televisyen, dan tidak digalakkan menganjur rapat.
PERLU PATUHI GARIS PANDUAN: Calon pilihan raya presiden digalak menggunakan saluran bagi mendekati pengundi secara keseluruhan seperti melalui siaran televisyen, dan tidak digalakkan menganjur rapat. - Foto fail

Calon Pilihan Raya Presiden 2023 digalakkan menggunakan wadah bagi mendekati pengundi secara umum seperti menerusi siaran televisyen dan media sosial.

Mereka boleh menganjurkan rapat atau perhimpunan jika mereka berjaya mendapat kebenaran dari premis tertentu yang perlu diperolehi sebelum memohon permit polis.

Namun, ini tidak digalakkan kerana berkemungkinan bersifat memecahbelahkan dan tidak selaras dengan jawatan presiden yang seharusnya menerapkan perpaduan, menurut kenyataan Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Writ Pilihan Raya Presiden dikeluarkan pada Jumaat.

Membentangkan garis panduan kempen Pilihan Raya Presiden akan datang, ELD menambah tiada premis tertentu telah ditetapkan sebagai kawasan menganjurkan rapat.

Namun, jika calon masih memutuskan untuk menganjurkan acara sedemikian, mereka digalak memilih lokasi seperti stadium sukan atau ruang tertutup demi keselamatan.

Garis panduan yang ditetapkan berkaitan anjuran rapat itu selaras dengan pindaan terhadap rang undang-undang Pilihan Raya Presiden yang diumumkan di Parlimen pada Februari 2017, sebelum Pilihan Raya Presiden 2017.

Sebelum pindaan tersebut, setiap calon dibenarkan menganjurkan satu rapat seorang di beberapa kawasan yang ditetapkan.

Sementara itu, ELD turut mengumumkan calon perlu mengehadkan perbelanjaan kempen kepada $812,822.10.

Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding $754,982.40 yang ditetapkan semasa Pilihan Raya 2017, namun kededuanya dikira berdasarkan kadar sama iaitu 30 sen setiap pengundi yang berdaftar.

Kali terakhir jawatan presiden Singapura ditanding adalah pada 2011. Pilihan Raya Presiden pada 2017 dimenangi Presiden Halimah Yacob tanpa bertanding.

Semasa pilihan raya 2011, Dr Tan Cheng Bock, yang mendapat undian kedua paling tinggi, mencatatkan perbelanjaan paling tinggi pada $585,045.03.

Ini diikuti Dr Tony Tan, yang telah membelanjakan sebanyak $503,070 dan telah memenangi Pilihan Raya Presiden 2011.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, mengeluarkan Writ Pilihan Raya Presiden pada Jumaat, memulakan proses memilih Presiden kesembilan Singapura.

Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Presiden 2023 dijadual pada 22 Ogos dan rakyat akan keluar mengundi pada 1 September, jika lebih daripada seorang calon layak bertanding.

Dalam kenyataan itu, ELD turut menetapkan setiap calon akan diperuntukkan masa siaran percuma sepanjang 10 minit untuk membuat kenyataan di 19 saluran televisyen Mediacorp serta saluran radio Mediacorp, SPH dan SoDrama!.

Mesej Siaran Calon Presiden yang dirakam awal itu akan disiarkan pada 24 dan 30 Ogos dan boleh disampaikan dalam empat bahasa.

Selain itu, dua forum akan dianjurkan tahun ini.

Satu forum di mana calon presiden menjawab soalan dari golongan muda akan dirakamkan dan disiarkan di laman The Straits Times serta wadah media sosial pada 27 Ogos.

Sementara itu Mediacorp akan menyiarkan Forum Presiden secara langsung pada 28 Ogos, yang juga akan disiarkan dalam talian.

Semua aktiviti kempen perlu dihentikan semasa tempoh bertenang yang akan bermula 31 Ogos hingga 1 September hingga undian ditutup.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg