PERDANA Menteri Estonia, Cik Kaja Kallas, menemui Presiden Halimah Yacob di Istana pada Isnin, dan kededuanya telah membincangkan cara memperkukuh kerjasama antara Singapura dan Estonia.
Cik Kaja berada di sini sejak 3 Jun atas lawatan kerja bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-20, yang diadakan dari 2 Jun hingga 4 Jun.
Beliau akan turut menyertai Kemuncak Asia Tech x Singapura (ATXSG) – anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dari 6 Jun hingga 9 Jun – pada Selasa.
Di Dialog Shangri-La, beliau membuat penyampaian pada Ahad dalam sesi bertajuk “Perkongsian Baru Bagi Keselamatan Asia Pasifik” bersama dua ahli panel iaitu President Timor-Leste, Dr José Ramos-Horta dan Menteri Pertahanan Jerman, Encik Boris Pistorius.
Dalam satu catatan Facebook Puan Halimah, beliau menyatakan kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara serta kerjasama yang kian meningkat dalam aspek pertahanan dan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).
“Kami juga menegaskan semula bahawa adalah penting bagi dua negara kecil untuk mengatur dan mempersiapkan pertahanan dan keselamatan sendiri, termasuk bekerjasama dengan rakan yang punya pemikiran yang betul,” tambah beliau.
Kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan mengenai perkembangan di rantau masing-masing dan kepentingan sistem dan peraturan pelbagai hala berdasarkan peraturan sejagat bagi memastikan kestabilan dan keamanan.
Awal dari itu, Puan Halimah mengadakan pertemuan bersama ahli Majlis Kepelbagaian Lembaga (CBD) bagi menggariskan strategi untuk “meneruskan rentak dan kekal pada sasaran terhadap kepelbagaian lembaga”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg